Ahad, 4 September 2016 | 12:02am
CHEF Shuib denagn pembantunya di dapur.

Keistimewaan California Steak di Tanjung Malim


BAHAGIAN depan restoran yang sudah memperlihatkan keunikan tersendiri.

JIKA berkunjung ke Tanjung Malim, jangan hanya terfikir roti pau sahaja kerana pekan ini mempunyai restoran yang menawarkan makanan sedap dan hiasan dalaman menarik.

Antaranya Restoran California Steak House and Steamboat atau dikenali juga Restoran California Steak Tanjung Malim yang menawarkan cita rasa berempah gabungan tempatan, Arab dan Barat.

Stik disediakan sendiri oleh pemilik restoran ini, iaitu Chef Shuid Othman, 54 yang berpengalaman 23 tahun sebagai pembantu tukang masa dan tukang masak di resort dan hotel terkemuka menjadikan hidangan makanan barat di restoran ini memang istimewa.

Dua bahan utama digunakan untuk menghasilkan stik iaitu daging lembu dari Australia dan ikan salmon dari Norway. Setiap satu dipotong dengan beratnya kira-kira 180 gram.

Istimewa stik sirlon di restoran ini kerana menggunakan gabungan rempah ratus tempatan untuk menghasilkan rasa tersendiri. Sosnya pula menggunakan serbuk safron untuk menghasilkan rasa serta warna sos yang menarik dengan rasa lada hitam dan cendawan.


CHEF Shuib dengan sajian istimewa yang dipesan pelanggan.

KEBAB kambing dengan pulut kuning.

Kebab panas bersama nasi pilaf

Chef Shuid berkata, daging lembu untuk stik diperap dengan adunan rempah ratus tempatan selama beberapa jam bagi sebati dengan daging dan kemudiannya dibakar mengikut kehendak pelanggan.

Selepas siap dipanggang (gril), daging diletakkan di pinggan dan kemudian dihias dengan barkoli dan kentang goreng disertakan sos pilihan pelanggan.

Stik ikan Salmon yang menjadi kegemaran pengunjung berbangsa Cina, prosesnya sama tetapi untuk hidangan ini ia menggunakan sos madu.

Bagi penggemar masakan Arab, bolehlah mencuba kebab kambing dan daging. Dalam hal ini, daging lembu dan kambing terlebih dahulu diperap dengan rempah ratus tempatan sehingga sebati sebelum dibakar dengan api sederhana panas.

"Masakan ini akan dihidangkan bersama nasi pilaf yang sememangnya popular di negara Arab bersama salad.

"Gabungan ini menjadikan hidangan ini begitu enak menyebabkan bagi mereka yang pernah ke negara Timur Tengah terlupa bahawa mereka sedang menikmati makanan itu di negara sendiri," katanya.

Restoran ini turut menawarkan spaghetti olio-olio yang dimasak bersama udang, bawang, cili dan keju, manakala bagi yang sukakan tuna boleh juga merasai Salad Tuna yang menggabungkan bawang, tomato, cili dan timun dicampur bersama mayonis.


KOLEKSI Hard Rock memukau pelanggan.

Dekorasi unik, menarik

Selain makanan yang sedap, Restoran California Steak House And Steamboat memiliki tarikan tersendiri iaitu menerusi dekorasinya yang unik.

Ini kerana bagi pelanggan, sambil pesanan makanan tiba, mereka boleh menjamu mata dengan koleksi dekorasi peribadi yang terdapat di segenap sudut dan ruang restoran.

Hiasan pada lantai siling dengan piring hitam lama dan kilauan bola berkilat serta gabungan lampu yang indah sudah pasti membuat pelanggan teruja sambil menikmati keenakan stik dan masakan ala barat yang disediakan di restoran ini.


RESTORAN ini memperkenalkan makanan ala barat bercita rasa tempatan.

INFO

Restoran California Steak & Steamboat

Lokasi: Jalan U1, Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak

Harga makanan dan minuman: Dari RM2.50 hingga RM10


SALAD Tuna.

Menu Pilihan Chef:

* Stik daging lembu Australia dengan sos lada hitam atau cendawan.

* Stik salmon dari Norway dengan sos madu.

* Kebab kambing atau daging bersama nasi pilaf

* Spagheti Olio

* Jus kelapa bersama limau nipis

Tahap pilihan stik

* Masak penuh

* suku masak

* separuh masak

595 dibaca
Berita Harian X