Ahad, 4 September 2016 | 6:12pm

36 remaja 'pesta lalok' dalam bilik hotel


36 remaja yang dipercayai berpesta dalam bilik sebuah hotel di Jalan Kasipillay, Sentul, awal pagi tadi, ditahan dalam serbuan Polis Daerah Sentul, selepas menerima aduan orang awam.

KUALA LUMPUR: Keasyikan 36 remaja untuk berpesta dalam bilik sebuah hotel di Jalan Kasipillay, Sentul, di sini, awal pagi tadi, terbantut, ekoran serbuan mengejut Polis Daerah Sentul, selepas menerima aduan orang awam.

Dalam serbuan jam 5.20 pagi itu, 32 lelaki dan empat wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun dipercayai sedang meraikan hari jadi salah seorang remaja terbabit disamping hidangan kek dan dadah.

Hasil pemeriksaan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, diketuai Asisten Superintendan Dean Jonathan itu mendapati 17 dari mereka positif mengambil dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Mohd Sukri Kaman, berkata pihaknya percaya ada antara remaja terbabit sempat membuang dadah yang digunakan semasa serbuan dibuat.

"Kita tidak dapat menemui sebarang dadah yang digunakan namun percaya mereka sempat membuang dadah berkenaan semasa polis mengarahkan mereka membuka pintu bilik hotel berkenaan.

"Namun berdasarkan jumlah 17 remaja yang didapati positif mengambil dadah, kita percaya mereka mengambil bahan terlarang berkenaan sehingga khayal dan berpesta," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Katanya, salah seorang dari mereka juga didapati mempunyai rekod dikehendaki IPD Dang Wangi, kerana terbabit dalam kes curi kenderaan.

469 dibaca
Berita Harian X