Sabtu, 22 November 2014 | 4:34pm
PEMAIN Arsenal dan England, Danny Welbeck (depan) ketika meraikan jaringan rakan sepasukannya, Alexis Sanchez (kiri) dalam perlawanan menentang Swansea City di The Liberty Stadium, 9 November lepas. - Foto AFP

Welbeck mahu bukti Van Gaal silap - Wenger

LONDON: Arsene Wenger berkata ada sesuatu yang ingin dibuktikan penyerang Arsenal, Danny Welbeck ketika pertemuan menarik menentang bekas kelabnya, Manchester United buat pertama kali, awal pagi ini.

Penyerang England itu tampak meyakinkan bersama Gunners sejak penghijrahan bernilai STG16 juta (RM83.9 juta) ke London dari United ketika penghujung jendela perpindahan musim panas lepas.

Pemain berusia 23 tahun itu sudah meledak lima gol daripada 12 penampilan bersama Arsenal yang mendiamkan pengkritiknya, termasuk bos United, Louis van Gaal yang berkata Welbeck tidak memiliki tahap diperlukan untuk beraksi di Old Trafford.

Situasi itu membuatkan pengurus Arsenal, Wenger sedar ia boleh memperoleh manfaat daripada keazaman Welbeck untuk menewaskan kelab yang diwakilinya sejak kanak-kanak itu yang membuat kunjungan ke Emirates.

"Kamu boleh mengambil setiap cabaran dengan cara yang positif dan itulah yang Danny lakukan," kata Wenger. "Kami mesti faham Louis van Gaal sudah lama tidak memberi arahan kepada Welbeck dan adalah sukar untuk mengerti seseorang pemain dengan baik apabila kamu hanya mengenalinya dalam tiga ke empat minggu.

"Wayne Rooney dan Robin van Persie memiliki rekod jaringan gol yang menakjubkan. Dia memiliki dua pemain berkualiti di depannya jadi apa yang diperlukannya adalah peluang.

"Apa yang penting ialah pemain itu mendapat kerjaya yang baik dan juga peluang yang hebat," katanya.

United, seperti Arsenal ketika ini jauh ketinggalan di belakang pendahulu selepas mengharungi permulaan buruk dan ia ditambah dengan ketiadaan pemain tengah Belanda, Daley Blind yang berdepan kecederaan lutut ketika aksi antarabangsa.

Begitupun, ada berita baik buat Van Gaal apabila penjaga gol utama, David de Gea dan dua pemain tengah, Michael Carrick dan Angel di Maria dijangka akan kembali cergas bertemu Arsenal. - AFP

142 dibaca
Berita Harian X