Selasa, 6 September 2016 | 12:04am

Kerongsang untuk jejaka


AKSESORI penambah seri, serlah gaya berbeza dan lebih kontemporari.

KERONGSANG atau kancing baju biasa dipakai wanita pada tudung, baju kurung dan kebaya bagi melengkapkan penampilan dan seri pada sesiapa saja yang menggayakannya.

Pemakaian kerongsang dilihat sebagai aksesori mampu menyerlahkan kelainan gaya dan tampak lebih kontemporari.

Bagaimanapun, tidak pelik lelaki memakai kerongsang jika ia sesuai dengan rekaan, corak dan fesyen baju yang digayakan. Lazimnya, kerongsang itu disematkan pada baju Melayu Johor atau teluk belanga sebagai pengganti butang.

Dengan pelbagai corak dan rekaan, ia menjadi lambang warisan asli Melayu, sekaligus penampilan lelaki lebih segak dan tampan.

Pengarah Kanan Bahagian Rekaan dan Penyelidikan Kraftangan Malaysia, Datuk Mohd Zubair Mohd Zain, berkata kebanyakan lelaki yang memakai kerongsang adalah peminat seni yang mahu mengekalkan warisan dan tradisi asli Malaysia.

Katanya, lelaki berani mendedahkan aura, personaliti, gaya melalui pelbagai rekaan, jenis dan corak motif kerongsang yang tersendiri dengan setiap bentuk mempunyai warna serta daya tarikan berbeza.

"Jika lelaki terus mengekalkan tradisi pemakaian kerongsang, peninggalan warisan Melayu dapat terus dikekalkan sehingga generasi akan datang," katanya baru-baru ini.

Ikut kesesuaian

Mohd Zubair berkata, kebanyakan kerongsang dijual di pasaran mampu menepati cita rasa lelaki mengikut kesesuaian pakaian dan majlis dihadiri.

"Kerongsang sesuai dipakai untuk baju moden, baju Melayu dan digayakan santai pada jaket untuk majlis makan malam sebagai tanda cinta pada seni dan bangga terhadap produk tradisional keluaran tempatan," katanya.

Mohd Zubair berkata, biarpun tiada perubahan besar terhadap rekaan kerongsang, namun bahan digunakan dalam pembuatannya sedikit berbeza supaya memudahkan masyarakat mendapatkannya.

Zaman dulu kerongsang diperbuat sepenuhnya menggunakan perak dan emas menjadikan harganya mahal.

"Kini kita menggunakan timah yang disadur dengan emas atau perak supaya harganya tidak terlalu mahal dan mampu dimiliki semua.

"Lelaki zaman ini juga tidak mahu rekaan yang melampau. Mereka lebih gemar memilih corak ringkas seperti motif berkaitan alam sekitar, flora dan fauna, abstrak dan berlian mengikut kesesuaian pakaian," katanya.

Dengan rekaan yang pelbagai dan ringkas itu memudahkan lelaki memadankan kerongsang dengan corak baju Melayu dan kain samping untuk menampakkan kelainan dan tidak nampak begitu menonjol.

Wujud kesedaran

Mohd Zubair berkata, Kraftangan sentiasa menggalakkan lelaki memakai kerongsang bagi menyemarakkan lagi industri fesyen berkenaan supaya tidak lapuk ditelan zaman.

Justeru, pihaknya giat menghasilkan rekaan kerongsang motif jati yang sesuai untuk semua mengikut tradisi lokasi seperti dari timur, Sabah dan Sarawak, utara dan sebagainya.

"Kami mahu memperkenalkan lebih lanjut corak dan rekaan unik kerongsang supaya pengguna mempunyai banyak pilihan," katanya.

Motif tradisional jadi pilihan

Lelaki memilih kerongsang dengan corak motif tradisional untuk dipadankan pada baju Melayu, songkok dan tanjak.

Pengurus Jualan Kasturi Heritage & Trading, Suriyanti Afandi, berkata ramai lelaki gemar memakai kerongsang pada songkok pada hari raya atau menghadiri majlis tertentu sebagai aksesori tambahan menambahkan penampilan mereka.

Katanya, rekaan sesuai untuk lelaki seperti bentuk petak, bulat dan kerongsang bertingkat yang tidak keterlaluan.

"Paling digemari corak wau dan pending. Bagi mereka, ia melambangkan warisan Melayu, justeru pemakainya mahu mengekalkan tradisi turun-temurun itu," katanya.

INFO: Sejarah pemakaian kerongsang

* Dipakai sejak zaman Yunani dan berkembang ke Eropah.

* Fungsi sebagai perhiasan

* Kancing pada pakaian menggantikan butang

* Diperbuat daripada logam seperti emas atau perak

* Kini rekaan pelbagai seperti kristal, manik, kayu, kaca dan plastik.

* Bertatahkan batu permata sebagai penambah seri.

48 dibaca
Berita Harian X