Khamis, 8 September 2016 | 7:31am
EarPods dengan penyambungan Lightning.

Apple memperkenalkan iPhone 7


iPhone7 dan AirPod yang dilancarkan pada acara media di San Francisco, California. - Foto Reuters

SAN FRANCISCO: Apple hari ini melancarkan iPhone 7 yang didatangkan dalam dua varian bagi mempertingkatkan tawaran dan pilihan kepada pengguna dalam pasaran telefon pintar yang kini memasuki fasa tepu.

iPhone 7 dan iPhone 7 Plus yang dipadankan dengan teknologi kamera canggih terkini serta pelbagai pembaharuan lain terutama aspek kalis air, dilancarkan pada acara media di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, iPhone terbaharu tidak didatangkan dengan lubang fon analog, ciri yang mungkin mengecewakan kumpulan peminta tertentu.


NAIB Presiden Kanan Pemasaran Antarabangsa Apple Inc, Phil Schiller, memberi penjelasan mengenai iPhone 7 pada acara media Apple di San Francisco, California, hari ini REUTERS

Sebaliknya Apple berbuat demikian bagi memanfaatkan kemajuan teknologinya dalam aspek sambungan bluetooth. Begitupun, bagi pengguna yang masih mahu menggunakan fon telinga berwayar, mereka masih boleh menyambungkannya dengan iPhone menerusi Lightning.

"Dari mula kita mereka cipta ciri ini untuk menjadikan ia penyambung audio terbaik," kata Naib Presiden Apple, Phil Schiller pada majlis berkenaan.

"Kita sertakan fon telinga untuk iPhone 7 dan 7 Plus sambungan Lightning bersama telefon. Kita juga menyertakan adaptor bersama pakej iPhone."

Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook, berkata telefon pintar terbaharu itu akan memanfaatkan sepenuhnya perisian terkini iPhone, iOS 10.

"Kita akan lancar iOS, pelancaran terbesar iOS setakat ini. Ia penuh dengan ciri-ciri terbaharu," kata Cook.

"Sudah tentu sistem operasi bagi telefon paling canggih di dunia berhak mendapat telefon pintar paling canggih dan ia berada di sini."

Telefon pintar itu akan mula dijual pada harga yang sama seperti model terdahulu, bermula dengan AS$649 (RM2,569) bagi iPhone 7 untuk pembeli di Amerika Syarikat manakala penghantaran ke 25 negara lain bakal bermula pada 16 September.

iPhone 7 Plus pula dilengkapi kamera berkembar bagi meningkatkan prestasi optikal dan kualiti gambar. - Agensi

306 dibaca
Berita Harian X