Ahad, 11 September 2016 | 1:01pm

1 maut, 2 cedera nahas kereta

SEREMBAN: Seorang lelaki maut manakala dua warga tua cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, pemandu PERODUA Kancil, Zahar Ruddin Zulkifli, 26, dari Taman Tasik Jaya di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Dalam kejadian ketika hujan lebat itu, katanya, PROTON Saga dipandu Wong Siong, 76, dari daerah ini ke Kuala Pilah, dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dipandu Zahar Ruddin.

"Kejadian menyebabkan Wong Siong yang berasal dari Taman Permai 2 di sini, cedera parah manakala penumpang kereta itu, Lai Moi, 76, turut cedera," katanya di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital sama.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

55 dibaca
Berita Harian X