Selasa, 13 September 2016 | 6:55am

Hapuskan ideologi Salafi Jihadi perangi ancaman Daesh

SEJAK kumpulan pengganas al-Qaeda muncul pada penghujung 1980-an, landskap keselamatan dunia dalam konteks menangani ancaman keganasan berubah drastik.

Al-Qaeda amat berstruktur, mempunyai banyak dana, dianggotai pelbagai lapisan umat Islam termasuk profesional dan yang paling penting, mengeksploitasi ayat al-Quran dan hadis untuk menjustifikasi tindakan ganas mereka.

Asas perjuangan al-Qaeda adalah ideologi Salafi Jihadi yang berasaskan fahaman takfiri kemudian jadi pegangan kumpulan pengganas yang mengekploitasi Islam selepas kemerosotan pengaruh al-Qaeda. Kumpulan dimaksudkan ialah Jemaah Islamiah (JI), Boko Haram, Al Shabab, al-Qaeda in the Arabian Peninsular (AQAP), Darul Islam, Lashka Al Toiba dan yang terbaru, Daesh.

Walaupun pengaruh al-Qaeda semakin pudar, namun kumpulan baharu yang muncul seperti Daesh turut memegang ideologi Salafi Jihadi. Daripada kajian pihak polis berdasarkan soal siasat suspek pengganas ditahan sejak 2001 membabitkan anggota pengganas kumpulan JI, Darul Islam dan al-Qaeda serta buku rampasan dan perkongsian risikan dengan agensi penguat kuasa dan risikan asing, pihak polis mengenal pasti ciri ideologi Salafi Jihadi.

Mereka menolak sistem demokrasi, perlembagaan sekular, sistem pilihan raya, ijmak dan qias, menolak pegangan mazhab, melabel umat Islam sekular sebagai murtad yang wajib diperangi, orang bukan Islam dianggap kafir Harbi yang wajib dibunuh, pihak polis dan kerajaan sekular boleh dibunuh dan harta benda mereka boleh dirampas, menghalalkan darah dan harta orang Islam yang didakwa amal bidaah.

Tindakan tegas

Dalam konteks kumpulan JI, walaupun pihak polis mengesan kehadiran dua pemimpin tertingginya, iaitu Abdullah Sungkar dan Abu Bakar Bashir yang menyusup masuk ke Malaysia pada 1985 dan mengembangkan fahaman ekstrem, selari ideologi Salafi Jihadi, namun tafsiran dibuat ketika itu oleh jabatan agama dan pihak berkuasa bahawa fahaman itu dianggap tidak mengancam keselamatan negara.

Mereka ambil kesempatan itu untuk mengembangkan kumpulan JI sehinggalah kumpulan ini dibanteras pada Disember 2001. Ini adalah faktor utama kenapa pihak polis perlu bertindak tegas sekarang untuk membanteras sebarang fahaman dan ideologi yang mempunyai ciri seperti di atas kerana memang terbukti sekiranya tidak dibanteras, ia akan menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara dan perpaduan umat Islam di Malaysia.

Ada sesetengah pihak di Malaysia yang tidak bertanggungjawab cuba mempertikaikan saranan pihak polis agar tindakan tegas diambil ke atas penyebaran ideologi Salafi Jihadi di sini. Mereka cuba memberi gambaran bahawa ideologi ini ciptaan negara Barat dan Israel untuk memecahbelahkan perpaduan umat Islam.

Ada juga pihak tertentu mengaitkan usaha membanteras ideologi Salafi Jihadi dengan kumpulan pro-Syiah. Golongan ini bukan sahaja tidak boleh menerima pandangan dan saranan pihak polis, malah mereka juga mempertikaikan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada Oktober 2014 dan Kertas Putih yang dibentangkan Perdana Menteri pada tahun sama berhubung kaitan ideologi Salafi Jihadi dengan Daesh.

Kelirukan umat Islam

Kenyataan golongan tidak bertanggungjawab ini sudah tentu mengelirukan umat Islam dan boleh beri gambaran bahawa ideologi Salafi Jihadi kumpulan Daesh selari dengan perjuangan Islam. Ini adalah faktor utama kenapa masih ramai umat Islam di Malaysia terpengaruh sama ada untuk menyertai Daesh, melancarkan serangan dan berlepas menyertai kumpulan itu di Syria.

Dalam perkembangan terbaru, walaupun kedudukan Daesh terjejas disebabkan kematian dua pemimpin tertinggi dan penyaluran dana yang terjejas, kita yakin akan muncul kumpulan baru yang mana asas perjuangan mereka masih berpaksikan Salafi Jihadi. Dalam konteks ini, semua pihak khususnya agensi penguatkuasaan serta pakar agama perlu cari pendekatan bersepadu dan menyeluruh bagi menerangkan kepada umat Islam mengenai kesesatan ideologi Salafi Jihadi.

Sehubungan itu, aspek counter narrative adalah amat penting kerana kita berdepan dengan perang ideologi dan bukannya perang membabitkan aspek ketenteraan. Selagi isu ideologi tidak ditangani dengan berkesan, selagi itu isu ancaman kumpulan pengganas yang mengekploitasi agama Islam untuk kepentingan mereka, tidak akan berjaya dihapuskan.

Perlu diingatkan, bagi kumpulan pengganas yang memegang ideologi Salafi Jihadi ini, mereka bukan sahaja anggap negara Islam sekular dan orang bukan Islam sebagai musuh, malah sasaran utama mereka adalah negara Islam dan umat Islam yang dilabelkan pengamal bidaah dan murtad yang wajib diperangi.

Umat Islam juga tidak perlu jadikan alasan penindasan umat Islam di seluruh dunia di negara tertentu sebagai alasan menyertai kumpulan pengganas berasaskan ideologi Salafi Jihadi yang kononnya berjuang membela nasib umat Islam.

Hakikatnya, mereka mengekploitasi isu penindasan itu dan mengaitkan dengan ideologi Salafi Jihadi untuk mengguling kerajaan Islam sekular yang didakwa bersetuju dengan musuh Islam.

Tolak fahaman ekstrem

Dalam menangani ancaman ideologi Salafi Jihadi Daesh ini juga umat Islam di Malaysia wajib berpegang teguh kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dari segi fiqahnya Mazhab Syafie dan akidahnya kepada aliran Asya'irah dan Maturidiah, di samping meraikan Mazhab Hanafi, Maliki dan Hambali. Sejak awal Islam dikembangkan di rantau Nusantara ini, kita berpegang teguh kepada Mazhab Syafie yang ternyata memiliki ciri 'Wasatiyah.'

Umat Islam Malaysia perlu tolak semua fahaman ekstrem dari luar yang tidak selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Pihak berkuasa agama di Malaysia sudah pun keluarkan kenyataan yang terdapat satu fahaman ekstrem bercirikan ideologi Salafi Jihadi dikembangkan di Malaysia ketika ini, namun beranggapan ia belum mengancam keselamatan negara.

Wajar tindakan segera perlu diambil supaya kesilapan kita menangani penyebaran fahaman JI pada 1985 tidak berulang. Untuk memastikan kita berjaya memerangi ancaman Daesh hingga ke akar umbi, kita wajar banteras penyebaran ideologi Salafi Jihadi.

854 dibaca
Berita Harian X