Khamis, 15 September 2016 | 12:04am

Cerita mendiang Sarjan Jusit Rantai dan Hari Malaysia


SOOK (KENINGAU): Tiga beradik, George Laim Jusit, Jane Jusit dan Juliana Jusit berada di Padang Bandaran, Jesselton atau kini dikenali sebagai Padang Merdeka, Kota Kinabalu bagi menyaksikan hari bersejarah pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963.

Walaupun ketika itu mereka hanya berumur 11, 10 dan lapan tahun, semangat Malaysia yang bersemarak di Padang Merdeka dan seluruh Sabah pada masa itu menusuk ke jiwa mereka dan kekal hingga ke hari ini.

Mereka bertiga bangga melihat buat pertama kalinya bendera Malaysia atau kini dinamakan Jalur Gemilang berkibar megah di atas tiang bagi menggantikan bendera Union Jack sebagai tanda tertubuhnya sebuah negara baharu yang merdeka daripada penjajahan British.

Lebih membanggakan mereka, individu yang menaikkan bendera keramat berkenaan dengan disaksikan pembesar negara dan negeri serta ribuan rakyat di Padang Merdeka ketika itu, adalah bapa mereka, mendiang Sarjan Jusit Rantai.

Ketika itu, George Laim dan Jane menyertai kumpulan Sekolah Rendah Stella Maris, Tanjung Aru, manakala Juliana menyertai kumpulan Sekolah Rendah Kepayan, Kota Kinabalu, yang datang berbaris di Padang Merdeka bagi memeriahkan upacara pengisytiharan Malaysia.


GAMBAR lama perkahwinan mendiang Sarjan Jusit Rantai dan isterinya, mendiang Norah Siambing. - Foto Datu Ruslan Sulai


GEORGE Laim Jusit, anak sulung mendiang Sarjan Jusit Rantai ketika ditemui di Kampung Susulat, Sook, Keningau. - Foto Datu Ruslan Sulai

Kebanggaan mereka tidak pernah pudar, malah peristiwa itu diingati setiap tahun menerusi upacara menaikkan bendera di Kampung Susulat, di sini, acara tradisi keluarga bagi memperingati tugas yang pernah diamanahkan kepada mendiang Jusit.

Tradisi itu yang dimulakan sejak tahun 1978 juga adalah cara mereka meluahkan rasa kecintaan kepada negeri dan negara, selain menanam semangat patriotik dalam kalangan generasi muda khususnya cucu dan cicit mendiang Jusit serta penduduk Sook keseluruhannya.

George Laim, 64, berkata selepas bersara pada tahun 1976, bapanya kembali ke kampung halaman di Sook dan membina kehidupan baharu di Kampung Susulat serta memulakan usaha ke arah kemajuan, sejajar kemerdekaan dikecapi Sabah menerusi pembentukan Malaysia.

"Dulu bapa biasanya potong ayam dan buat upacara ringkas menaikkan bendera bersama keluarga apabila tiba 16 September, sambil berdoa supaya Malaysia sentiasa selamat serta jauh daripada ancaman luar.

"Selepas meninggal dunia pada tahun 2010, kami teruskan tradisi menaikkan bendera sebagai tanda kebanggaan terhadap beliau, selain mengenang peristiwa 16 September yang amat besar maknanya kepada kami semua," katanya ditemui BH di Kampung Susulat, di sini.


UPACARA menaikkan bendera sempena memperingati tugas diamanahkan kepada mendiang Sarjan Jusit Rantai menaikkan bendera ketika pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963 dilakukan di hadapan kubur mendiang di Kampung Susulat, Sook, Keningau. - Foto Datu Ruslan Sulai

Mengimbau pemilihan bapanya menaikkan bendera pada pagi 16 September 1963, George Laim berkata, mendiang Jusit yang ketika itu berumur 33 tahun adalah antara lebih 100 anggota polis disenarai pendek untuk melakukan tugas berkenaan.

Katanya, ketika itu bapanya yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kepayan, Kota Kinabalu dipilih melaksanakan tugas itu berdasarkan keberaniannya menyuarakan isi hati mahu British menyerahkan pemerintahan Borneo Utara (Sabah) kepada penduduk tempatan.

"Apabila diumumkan Malaysia akan dibentuk pada 16 September 1963, maka polis mencari orang yang akan menaikkan bendera di Padang Bandaran dan setelah disenarai pendek, ayah saya dipilih kerana sikap penentangannya terhadap British," katanya.

Beliau berkata, walaupun hanya menaikkan bendera, bapanya berlatih selama sebulan untuk memastikan upacara menaikkan bendera sempena pengisytiharan Malaysia berjalan dengan lancar.

Katanya, upacara disaksikan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussin; Ketua Menteri Sabah, Datuk Donald Stephen dan Yang di-Pertua Negeri, Tun Datu Mustapha Datu Harun serta wakil pemerintah British berakhir dengan suasana meriah.


CUCU mendiang Sarjan Jusit Rantai, Tijelo A Jatquinn Kuin, 32, memberi tabik hormat sebelum melakukan upacara menaikkan bendera sebagai memperingati tugas datuk mereka ketika pengisytiharan Malaysia dengan disaksikan ahli keluarga di Kampung Susulat, Sook, Keningau. - Foto Datu Ruslan Sulai


JANE Jusit, anak kedua mendiang Sarjan Jusit Rantai. - Foto Datu Ruslan Sulai

Sementara itu, Jane, 63, berkata walaupun teruja melihat mendiang bapanya menaikkan gembira dengan disaksikan ribuan orang ramai di Padang Merdeka, mereka tetap bimbang berikutan khabar angin berlaku kekacauan sempena majlis pengisytiharan Malaysia.

"Ketika itu, khabar angin mengatakan orang yang menaikkan bendera dalam bahaya kerana mungkin diserang kerana waktu itu pembentukan Malaysia dibantah oleh Indonesia, malah maklumat risikan mendapati ada kumpulan penentang cuba menyusup masuk.

"Di saat melihat bapa menaikkan bendera, hati saya berdebar-debar, bangga dan takut bercampur-baur kerana bimbang bapa mungkin diserang. Namun, nasib baik tiada apa yang berlaku dan kami bersyukur upacara itu selamat," katanya.

Bagi Juliana, 61, melihat mendiang bapanya menaikkan bendera pada hari bersejarah pembentukan Malaysia yang disertai Sabah, Sarawak, Tanah Melayu dan Singapura, perasaan bangga dan gembira sukar diungkapkan.


JULIANA Jusit, anak ketiga mendiang Sarjan Jusit Rantai. - Foto Datu Ruslan Sulai

Katanya, ketika ikut berbaris di Padang Merdeka, lagu Malaysia Berjaya berkumandang megah membakar semangat mereka yang menyaksikan upacara pengisytiharan Malaysia pada masa itu.

"Kami gembira bukan saja kerana dapat menyaksikan hari bersejarah, malah dapat tiket menonton wayang percuma cerita P Ramlee di pawagam selain diberi cenderahati berupa cawan yang tertulis Hari Malaysia," katanya.

Hari ini, perasaan bangga keluarga mendiang Jusit terhadap tugas diamanahkan terhadap beliau 53 tahun lalu itu masih menebal dan ia terus dikenang serta diwariskan kepada generasi baharu agar terus kekal menjadi kebanggaan keluarga.

Bagi mereka, walaupun tugas menaikkan bendera adalah kerja yang mudah, namun tugas diamanahkan kepada mendiang Jusit untuk menaikkan bendera sebuah negara baharu pada hari pengisytiharannya adalah tugas yang besar dan wajar dikenang sepanjang zaman.


ANDY Jusit (kanan) bersama ahli keluarga yang lain bersemangat menyanyikan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku ketika upacara menaikkan bendera sempena memperingati tugas mendiang ayahnya ketika pengisytiharan Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada 16 September 1963 di Kampung Susulat, Sook, Keningau. - Foto Datu Ruslan Sulai

INFO - Mendiang Sarjan Jusit Rantai

  • 1948 - memasuki perkhidmatan polis di bawah pemerintahan British di Jesselton (Kota Kinabalu)
  • 1955 - ditugaskan di Balai Polis Semporna sebagai Timbalan Ketua Balai
  • 1955-1956 - terbabit operasi memburu lanun di perairan Semporna dan berjaya menangkap ketua lanun dikenali sebagai Sandalan
  • 1957 - dinaikkan pangkat kepada sarjan pada usia 27 tahun dan ditugaskan di Sandakan
  • 1959 - ditukarkan ke Balai Polis Jesselton sebagai ketua trafik dan bomba
  • 1961 - dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kepayan sebagai ketua quater master
  • 16 September 1963 - dipilih daripada lebih 100 anggota polis untuk menaikkan bendera Malaysia sempena pengisytiharan Malaysia
  • 1968 - bertugas di Balai Polis Pensiangan
  • 1972 - dipindahkan di Balai Polis Beluran
  • 1976 - bersara daripada perkhidmatan polis dan kembali ke kampung halaman di Susulat, Sook


CUCU mendiang Sarjan Jusit Rantai, Tijelo A Jatquinn Kuin, (kiri) dan Max Mellian Andrew Jusit (kanan) memulakan upacara menaikkan bendera sebagai memperingati tugas datuk mereka ketika pengisytiharan Malaysia dengan disaksikan ahli keluarga di Kampung Susulat, Sook, Keningau. - Foto Datu Ruslan Sulai
300 dibaca
Berita Harian X