Isnin, 19 September 2016 | 2:21pm

Tingkat usaha pantau pengaruh Daesh


EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Wira Md Yunos Husin. - Foto Khairunisah Lokman

MELAKA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan universiti awam (UA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) di negeri ini memantau pengaruh militan Daesh bagi mengelakkannya menular dalam kalangan pensyarah dan pelajar.

Inisiatif itu diambil susulan ancaman anasir yang cuba mempengaruhi warga muda untuk berjuang di Syria dan Iraq.

EXCO Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Wira Md Yunos Husin, berkata pengurusan UA, IPTS serta PDRM sentiasa memantau aktiviti pelajar kerana golongan muda terlalu mudah dipengaruhi anasir tidak sihat, termasuk menjadi pejuang di negara luar.

"Polis sentiasa pantau (Daesh), sebab itu polis memberi perhatian penuh dengan mengambil langkah pencegahan supaya tiada penularan elemen ekstremis dalam kalangan pensyarah dan pelajar di institusi pendidikan tinggi.

"Perjuangan kumpulan berkenaan bercanggah dengan ajaran Islam. Mereka menyasar orang muda menjadi ahli kerana pada peringkat usia ini, golongan itu akan mengalami perubahan dalam aspek fizikal, emosi dan sosial," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Keselamatan IPT Negeri Melaka di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu, Durian Daun, di sini hari ini.

Seramai 147 pemimpin pelajar dari 46 UA dan IPTS di negeri ini menyertai seminar terbabit yang turut membincangkan isu keselamatan jalan raya dan penyalahgunaan dadah dalam kalangan mahasiswa.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah dan Pengarah IPG Kampus Perempuan Melayu, Siti Norkiah Idris.

Mengenai isu penyalahgunaan dadah pula, Md Yunos berkata, penuntut juga perlu diberi kesedaran supaya tidak terjebak dalam kegiatan itu semata-mata untuk berseronok ketika belajar dan selepas mendapat pekerjaan.

109 dibaca
Berita Harian X