Selasa, 20 September 2016 | 10:24pm

Najib puji Projek Taman Herba PPR Raya Permai


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat Projek Taman Herba yang dibangunkan komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai, Jalan Sungai Besi di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto ihsan Facebook Najib Razak

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memuji inisiatif komuniti yang berusaha meningkatkan taraf kehidupan mereka seperti Projek Taman Herba yang dibangunkan komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai, Jalan Sungai Besi di sini.

Beliau berkata, usaha dan sikap penduduk PPR Raya Permai itu perlu dijadikan teladan.

"Saya gembira dapat bertemu dengan komuniti di sini yang telah mengusahakan inisiatif bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka seperti Projek Taman Herba Sungai Midah dan sebagainya," katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Najib turut memuat naik lima gambar lawatannya ke komuniti itu dalam laman Facebook beliau.

Projek Taman Herba itu, yang dibangunkan di bawah program Sungai Midah Local Agenda 21 (LA21) dengan usaha sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Universiti Putra Malaysia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk, dilaksanakan sejak empat tahun lepas.

Projek itu, yang dirasmikan pada 17 Jun 2012, merupakan sebahagian daripada projek DBKL dalam usahanya menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya hijau.

Lebih 300 spesies pokok herba ditanam di kawasan seluas 1.2 hektar itu termasuk Jarum Tujuh Bilah, Semambu, Putat, Tenggek Burung, Kaduk, Lemuning, Sirih dan Serai Wangi.

- BERNAMA

407 dibaca
Berita Harian X