Khamis, 22 September 2016 | 11:53am

Bayern kembali terajui Bundesliga


PEMAIN Munich, Thomas Müller (tengah) dan Thiago (dua dari kanan) meraikan kemenangan selepas tewaskan Hertha Berlin di Allianz Arena, Munich, Jerman. - Foto EPA

BERLIN: Pendahulu Bundesliga, Bayern Munich kini menjadi satu-satunya pasukan di Jerman yang masih mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus apabila menewaskan Hertha Berlin 3-0, awal pagi tadi.

Pemain tengah, Franck Ribery, Thiago Alcantara dan Arjen Robben masing-masing meledakkan satu gol di Allianz Arena, sekali gus memberikan kemenangan keempat berturut-turut kepada pengendali, Carlo Ancelotti dalam saingan musim ini.

Hertha pula di kedudukan kelima selepas terlepas tiga mata buat kali pertama musim ini di Munich susulan tiga kemenangan berturut-turut sebelum ini.

"Hari ini (awal pagi tadi) kami bermain menentang pasukan Bayern yang lengkap. Mereka bermain sangat baik dan berhak untuk menang.

"Kami bertahan dengan baik tetapi melepaskan gol yang tidak sepatutnya kepada pihak lawan," kata jurulatih Hertha, Pal Dardai.

Sementara itu, Robben gembira kerana kembali menjaringkan gol untuk Bayern selepas enam bulan diketepikan kerana masalah kecederaan pangkal paha.

"Ia perasaan yang sukar digambarkan. Saya berasa sangat lega dengan jaringan ini," kata Robben.

Kemenangan itu menyaksikan Bayern kekal di tangga teratas mengatasi Borussia Dortmund yang menjadi pendahulu sementara selepas kemenangan 5-1 ke atas Wolfsburg, kelmarin kemudian jatuh ke tangga ketiga. - AFP

89 dibaca
Berita Harian X