;
Khamis, 22 September 2016 | 12:41pm

Nadzmi Adhwa jadi penyanyi rap pula


BAKAT baharu, Nadzmi Adhwa. - Foto Nik Hariff Hassan

KUALA LUMPUR: Selepas single pertama Kamulah Wanita, bakat baharu, Nadzmi Adhwa, terus berpeluang mengasah keupayaan di bidang seni suara apabila ditawarkan peluang merakamkan lagu kedua.

Jika lagu sulungnya itu dianggap seakan-akan Pencinta Wanita dendangan bintang Indonesia, Irwansyah, kali ini Nadzmi mencuba bakat sebagai penyanyi rap menerusi karya berjudul Seharusnya Cinta Setia, ciptaan Sharon Paul dan lirik tulisan Iman Imran.

Lagu berkenaan juga menyaksikan dirinya berduet dengan seorang lagi bakat baharu di arena nyanyian, Mia.

Calon Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29 ini memberitahu, lagu terbabit akan hanya mula dipromosikan dalam masa terdekat.

"Menerusi lagu ini, saya menyanyikan bahagian rap. Kalau peminat hendak mendengar macam mana saya jadi 'rapper', mereka kenalah tunggu lagu ini diperdengarkan tidak lama lagi.

"Lebih istimewa, Seharusnya Cinta Setia juga akan menjadi lagu tema drama lakonan saya, Cinta Roller Coaster, yang bakal mengisi slot Dahlia di TV3. Jadi, saya sebenarnya sangat teruja kerana drama dan lagu itu akan keluar serentak," katanya yang kini sibuk melunaskan baki penggambaran program travelog, Jalan Jalan Makan Angin, di samping Anas Ridzuan.

Menurut pelakon drama Hati Perempuan ini, walaupun sudah mencuba bidang nyanyian, beliau sesekali takkan meninggalkan dunia lakonan. Pada masa sama, dirinya turut mengasah bakat sebagai pengacara.

"Saya sekadar mencuri segala peluang dan kesempatan yang ada di depan mata.

"Dalam lakonan juga, sekalipun tidak diberikan watak utama, saya akan tetap terima jika skripnya sesuai. Saya bukanlah seorang yang memilih dan setiap peluang diberikan dianggap sebagai ruang terbaik untuk saya terus belajar," katanya.

Ends.

175 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »