Khamis, 22 September 2016 | 6:44pm

Cotillard nafi ada hubungan dengan Pitt


Imej dikeluarkan Paramount Pictures memaparkan Marion Cotillard (kiri) berlakon bersama Brad Pitt dalam adegan dari "Allied," di pawagam pada 23 November. - Foto AP

LONDON: Selepas dua hari mendiamkan diri terhadap tuduhan tidak berasas dan namanya diheret ke dalam sarkas media berikutan keputusan Angelina Jolie menceraikan Brad Pitt, Marion Cotillard akhirnya bersuara.

Dalam tulisan Instagram bahasa Inggeris dan Perancis, Cotillard mengumumkan beliau sedang hamil anak kedua dan sudah lama menjalin hubungan jangka panjang dengan pelakon, Guillaume Canet.

"Saya sudah menemui lelaki yang saya cintai, bapa kepada anak lelaki kami dan bayi yang bakal lahir. Beliau adalah kekasih, kawan baik dan hanya itu saja yang saya perlukan," katanya.

Cotillard, 40, juga menafikan dakwaan akhbar tabloid bahawa beliau tertekan dengan cara laporan akhbar itu mengaitkannya dengan masalah berkenaan.

Pelakon Perancis itu digandingkan dengan Brad Pitt dalam filem 'Allied,' yang berlatar belakangkan kisah ketika Perang Dunia Kedua.

"Ini adalah reaksi pertama selepas berita perceraian itu tersebar dalam tempoh 24 jam lalu dan saya terheret sama.

"Biasanya saya jarang memberi komen perkara seperti ini atau menganggapnya serius. Tetapi keadaan sudah tidak terkawal dan menjejaskan orang yang saya sayangi, jadi saya terpaksa menjelaskannya.

"Saya berharap Angelina dan Brad, kedua-duanya saya amat hormati akan menemui kedamaian dalam saat yang mencabar sekarang," kata Cotillard. -AGENSI

124 dibaca
Berita Harian X