Ahad, 25 September 2016 | 12:13am
RAMLI Junit (tengah) bersama Abdullah Ali (kanan) dan Kamarudin Ahmad. - Foto Khairul Ghazali
Ramli Junit bersama skuad bola sepak Melaka pada sesi latihan pada 1983.
RAMLI Junit (kiri) pada perlawanan veteran Pahang dan veteran Melaka di Stadium Tun Fatimah Bukit Serindit Melaka. - Foto Nazri Abu Bakar

Anggota Skuad Olimpik 1980 seperti adik beradik

SELEPAS kejayaan skuad bola sepak negara menempatkan diri ke temasya Olimpik Jerman Barat 1972, Malaysia mengulangi kejayaan sama apabila layak beraksi di Olimpik Moscow, Russia pada 1980.

Namun, impian itu tidak menjadi kenyataan apabila Malaysia memboikot temasya kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan. BH Sukan memaparkan kisah suka duka perjuangan pemain negara untuk layak beraksi kali kedua di Sukan Olimpik. Bagi siri minggu ini, ikuti wawancara wartawan BH Sukan, NAZRI ABU BAKAR bersama bekas penyerang kebangsaan, Ramli Junit yang berkongsi pengalaman sepanjang sesi kelayakan ke Olimpik Moscow.


R Arumugam bersama Ramli. - Foto Khairul Ghazali

MELAKA: Bekas penyerang berbisa skuad Olimpik Malaysia 1980, Ramli Junit memuji langkah jurulatih Karl Heinz Weigang dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyusun jadual latihan secara sistematik bagi membolehkan negara layak ke Olimpik Moscow, Russia.

Baginya, agenda latihan di dalam dan luar negara termasuk ketika menang 3-0 ke atas Arab Saudi 3-0 dan China (3-1) berjaya membentuk keserasian mantap untuk layak kali kedua ke pentas Olimpik selepas kejayaan mara ke Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

Lebih menarik, skuad kebangsaan ketika itu dibarisi ramai penyerang berbakat yang menjadikan saingan amat sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama tetapi memberikan pilihan selesa kepada Weigang.

Kehadirannya bersama James Wong, Hassan Sani, Zulkilfi Hamzah, Abdullah Ali dan Tukiman Bahari membuatkan barisan penyerang negara sentiasa digeruni lawan kerana memiliki kepantasan dan kemahiran setaraf walaupun tanpa kelibat Allahyarham Mokhtar Dahari.

"Saya amat merasai ketiadaan arwah (SuperMokh) yang amat rapat dengan saya. Jika ada kejohanan besar, saya akan berkongsi bilik dengannya. Arwah biasa memanggil saya `Ujang'.


PENYERANG skuad Olimpik 1980, Bakri Ibni mengekang asakan pemain Jepun sambil diperhatikan rakan sepasukan, Ramli Junit.

"Saya tidak tahu punca kenapa dia tidak menyertai skuad kebangsaan. Memang kecewa, namun kami gagahi juga demi memastikan negara mampu mengulangi kejayaan skuad 1972.

"Apa yang menariknya, di antara kami (penyerang) termasuk James dan Hassan, tiada siapa yang menjadi pilihan utama jurulatih, sebaliknya dia bersedia menurunkan penyerang lain mengikut perancangnya.

"Jurulatih cukup bijak memberi tekanan kepada kami kerana tiada siapa yang terjamin tempat dalam kesebelasan utama. Jadi, kami terpaksa berusaha bersungguh-sungguh," katanya.

Hasilnya, setiap penyerang berjaya menjalankan tugas masing-masing dengan baik dan beliau sendiri berjaya menjaringkan beberapa gol sepanjang pusingan kelayakan walaupun pasukan negara berdepan tugas sukar bertemu Indonesia, Korea Selatan dan Jepun.

Menjelang pusingan akhir peringkat kumpulan Asia, skuad negara begitu konsisten mempamerkan aksi cemerlang menerusi aksi persahabatan antarabangsa termasuk berdepan skuad kelab terbaik dunia, Red Star Belgrade dan Cosmos New York serta kelab dari Zurich.


RAMLI Junit (dua kanan) bersama rakan sepasukan. - Foto Khairul Ghazali

"Semua itu memberi impak besar kepada pemain. Kami menimba pengalaman berdepan pemain hebat, dapat mempertajamkan skil dan memantapkan persefahaman. Kami sentiasa mencuba untuk menewaskan pasukan yang terbaik," katanya.

Bahkan, kuasa besar bola sepak Asia termasuk Jepun juga pernah ditewaskan skuad Harimau Malaya dan seri 1-1 pada pusingan kelayakan.

"Rahsianya ialah, kami bermain seperti adik beradik, saling mempercayai dan menghormati antara satu sama lain.

"Malah, kami tidak peduli siapa yang menjaringkan gol. Sebab itulah lawan sukar menjangka siapa penyerang utama dan siapa yang perlu diberi kawalan ketat kerana kami semua memiliki keupayaan sama.


PENJAGA gol Jepun Sato gagal menyelamatkan tendangan kencang Abdullah Ali dari sudut sebelah kiri palang gol, sementara dua lagi penyerang Malaysia, Ramli Junit (kiri) dan Abdah Alif (kanan) cuba mengasak dalam perlawanan Pestabola Merdeka.

"Lihatlah bagaimana jaringan James ketika kita menang ke atas Korea Selatan di perlawanan penentuan kelayakan. Hassan yang membawa bola ke kawasan lawan dan mempunyai peluang menjaringkan gol, tetapi dia memilih untuk menghantar bola kepada James.

"Mereka tidak tamak asalkan pasukan negara menang," katanya dengan penuh bersemangat apabila mengenangkan detik kegemilangan skuad bola sepak negara.


RAMLI Junit (dua kanan) bersama rakan sepasukan. - Foto Khairul Ghazali

Bola sepak julang anak penoreh getah

Kira-kira 40 tahun dulu, Ramli tidak pernah menduga akan menyarung jersi skuad bola sepak Harimau Malaya dan hari ini, dia cukup gembira dan berbangga kerana pernah berada dalam senarai skuad gemilang era 1980-an.

Bagi bekas penyerang berbisa skuad Olimpik ini, kejayaan dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan itu dianggap satu penghargaan besar yang perlu diterima sepenuh hati dan dibalas dengan kejayaan untuk negara.

Bermula detik itu, anak kepada penoreh getah di Estet Sua Betong Port Dickson, Negeri Sembilan ini berazam untuk mengubah sejarah perjalanan hidup dan masa depannya melalui sukan bola sepak.


RAMLI Junit bersama rakan sepasukan, Yahya Jusoh. - Foto Khairul Ghazali

Mengenang detik itu, Ramli berkata, bakatnya dicungkil seorang guru ketika dia mewakili kampung di liga enam dan tujuh sebelah anjuran Estet Sua Betong, Port Dickson sebelum terpilih mewakili pasukan utama bola sepak Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka.

Baginya, Selangor telah meletakkannya sebagai penyerang disegani terutama beraksi bersama pemain terhebat negara termasuk Allahyarham Mokhtar Dahari, Mendiang R Arumugan, Khalid Ali, Santokh Singh, Abdullah Ali, Rashid Hasan dan Jamaludin Norbit .

"Bayangkan detik ketika ini. Saya dapat beraksi bersama pemain hebat yang dianggap lagenda dan ikon peminat bola sepak. Bagi saya itu juga satu kejayaan dan lebih manis apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan.


BEKAS skuad Harimau Malaya 1980, (Dari kanan), Datuk Soo Chin Aun, Datuk Hassan Sani, James Wong, Datuk Santokh Singh, Datuk Jamal Nasir, S Puspanathan, Zulkifli Hamzah dan Ramli Junit pada Majlis Perlancaran Dokumentari Harimau Malaya 1980 di Studio 1 Astro. - Foto Saifullizan Tamadi

"Alangkah bangganya dapat menyarung jersi negara. Ini bukannya senang kerana kami terpaksa bersaing hebat, tetapi hasilnya cukup memuaskan," katanya.

Detik indah bersama skuad kebangsaan dan Selangor tidak akan dilupakan sepanjang hayat, berikutan dia mampu mengecapi era kegemilangan mewakili Malaysia biarpun patah gigi depan, ketika beraksi di Jerman.

"Sayangnya, Malaysia menarik diri daripada menyertai Olimpik Moscow tetapi FAM tetap mengubati kekecewaan pemain melalui lawatan dan perlawanan persahabatan di Brazil, Switzerland dan Jerman," katanya sayu.


BEKAS penyerang kebangsaan, Ramli Junit. - Foto Saifullizan Tamadi

PROFIL:

Nama: Ramli Junit (Nama sebenar Rameli Junit)

Tarikh Lahir: 20 Disember 1955

Asal: Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan

Isteri: Jamaaih Yusoff

Anak: 2 anak lelaki

Jawatan: Pesara Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB)

Tempat tinggal: Peringgit, Melaka

Adik Beradik: Anak ke 4 daripada 11 adik beradik

Ayah: Allahyarham Junit Jawal

Ibu: Allahyarham Naghelah Sekat

Info: Pencapaian

Piala Razak Negeri Sembilan 1973-1975

Piala Emas Raja-Raja dan Piala Malaysia (Negeri Sembilan) 1975-1976

Piala Malaysia Selangor 1977-1980,

Piala Malaysia, Melaka 1981- 1989

Skuad kebangsaan: (1976-1980)

Kejohanan Piala Raja Thai, Piala Presiden Korea Selatan, Piala Asia Kuwait, Piala Pra Olimpik; Piala belia Tehran dan Piala Kirin.

Kursus kejurulatihan di Hannef, Jerman Barat, 1978

164 dibaca
Berita Harian X