Isnin, 26 September 2016 | 7:38pm

UMNO tiada halangan Mukhriz bertanding di Kedah


NAIB Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir. -Foto Syarafiq Abd Samad

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah mengalu-alukan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen di negeri ini.

Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata Mukhriz mempunyai hak untuk bertanding di mana sahaja biarpun di kubu kuat UMNO.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang halangan kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi.

"Kalau beliau mahu bertanding di DUN Bakar Bata yang kini disandang oleh saya sendiri, saya tidak kisah, kita tiada hak menghalangnya.

"Sekiranya beliau (Mukhriz) masih terus mahu bertanding di DUN Ayer Hitam, dan daerah lain seperti Langkawi ataupun Parlimen Kubang Pasu.

Selamat Datang ke Kubang Pasu kerana bapa beliau, Tun Dr Mahathir Mohammad pernah berkhidmat selama 22 tahun sebagai Ahli Parlimen Kubang Pasu," katanya semasa sidang media selepas Sambutan Hari Wanita Kebangsaan Peringkat Negeri Kedah di Wisma MBAS di sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mukhriz dalam sebuah akhbar yang menyatakan bakal bertanding di Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14.

655 dibaca
Berita Harian X