;
Khamis, 29 September 2016 | 2:50pm

Brad Pitt batal tayangan perdana sebaliknya 'tumpu keluarga'


AKTOR, Brad Pitt bersama berdepan perceraian dengan aktres Angelina Jolie. - Foto AFP

LOS ANGELES: Aktor tersohor Brad Pitt membatalkan kemunculan di hamparan merah sempena tayangan filem sentuhan Terrence Malick, Voyage of Times semalam untuk fokus kepada masalah keluarga.

Pitt, 52 selaku suara latar filem cereka berkenaan berdepan perceraian dengan aktres Angelina Jolie.

Beliau dijadual menghadiri tayangan perdana filem 40 minit mengenai asal usul cakerawala itu di Pusat Sains California, Los Angeles.

"Voyage of Time sentuhan Terrence adalah pengalaman filem IMAX yang amat cantik dan unik untuk kanak-kanak dan keluarga mengenai catatan kelahiran masa," kata Pitt dalam satu kenyataan.

"Saya amat berterima kasih kerana dapat menjadi sebahagian daripada projek yang menarik dan berciri pendidikan ini.

Malangnya saya perlu fokus dengan keadaan semasa keluarga dan tidak mahu mengganggu perhatian anda daripada filem yang sangat luar biasa ini, malah saya amat menggalakkan semua orang untuk menontonnya," katanya.

Pengurusan Pitt tidak memberikan maklum balas ketika diminta mengulas lanjut.

Jolie, 41, memfailkan perceraian pada 19 September lalu atas alasan tiada lagi persefahaman dan menuntut hak penjagaan ke atas semua enam orang anaknya, dengan hak lawatan hanya untuk Pitt.

Pasangan yang bersama sejak 2004 itu berkahwin di Perancis pada Ogos dua tahun lalu.

Kekusutan itu memaksa pelakon Perancis, Marion Cotillard membuat penafian minggu lalu selepas dituduh menjadi punca perpisahan pasangan Brangelina selepas dikatakan bermain cinta dengan Pitt. - Agensi

115 dibaca
Berita Harian X