Sabtu, 1 Oktober 2016 | 12:01am
ANTARA sup yang disajikan di Rstoran Adam Lai yang terletak di Prima Sri Gombak, Batu Caves, Selangor. - Foto Adi Safri
TUKANG masak menyediakan makanan di dapur. - foto Adi Safri
MENU Kari Tenggiri di Restoran Adam Lai. - Foto Adi Safri

Sup ikan segar Adam Lai, idea dari Sabah


(DARI kiri) Muhammad Adam Lai, Ebby Yus dan Ahmad Khairul Hamid menunjukkan sup yang disajikan di Rstoran Adam Lai yang terletak di Prima Sri Gombak, Batu Caves, Selangor. - Foto Adi Safri

MUNGKIN ada yang tidak terlintas untuk merasai nikmat sup ikan merah, talapia merah, kerapu merah, kerapu biasa serta siakap.

Biarpun sekali imbas ia cuba hidangan itu biasa namun rasa sup ikan segar, sama ada ikan air tawar atau ikan laut dalam memang sedap.

Tidak hairanlah kalau ada yang lebih daripada semangkuk selepas menikmati hidangan pertama.

Lagipun setakat ini memang sukar untuk mencari restoran yang menyediakan sup ikan berbanding dengan sup sayur, sup ayam, tulang, daging dan sup ekor.

Minggu lalu penulis berpeluang menikmati dua daripada sup ikan segar di Restoran Adam Lai yang terletak di Prima Sri Gombak, Batu Caves, Selangor.

Tertarik keenakan ketika di Sabah

Sup ikan segar adalah resipi terbaharu yang dihidangkan di Restoran Adam Lai yang sebelum ini terkenal dengan menu rasa asli, masakan Cina Muslim.


MENU Nasi Ayam Claypot di Restoran Adam Lai. - Foto Adi Safri

MENU Sup Ikan Merah di Restoran Adam Lai. - Foto Adi Safri

Di restoran ini, setiap pelanggan boleh memilih sendiri jenis ikan yang hendak dimakan, termasuk talapia merah hidup yang berenang di dalam akuarium.

Penulis diberi peluang merasai dua sup ikan segar itu. Rasanya hampir serupa dengan masakan arwah ibu penulis.

Tambah menarik, hidangan itu dinikmati bersama pemilik restoran terbabit terdiri daripada pelawak dan pelakon Ebby Yus atau nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid, 51; Muhammad Adam Lai dan Kassim Lee.

Ebby Yus memberitahu, menu sup ikan itu diperkenalkan selepas tertarik dengan keenakan rasa masakan berkenaan ketika berkunjung ke Sabah.

"Selepas menikmati hidangan sup itu di sebuah restoran di Sabah, saya menghubungi Adam Lai. Saya minta dia datang ke Sabah segera untuk merasai sendiri sup terbabit dan mengenal pasti jenis bahan masakan yang diperlukan.

"Selepas makan sup terbabit, Adam Lai tersenyum lebar sambil mengakui dapat menyediakan menu itu tanpa perlu minta resipi daripada pemilik restoran berkenaan," katanya.

Harga bergantung kepada jenis, berat

Ebby Yus berkata, harga semangkuk sup ikan segar itu bergantung kepada jenis dan berat ikan dipesan iaitu antara RM4.50 hingga RM9 bagi setiap 100 gram .


MUHAMMAD Adam Lai dan Ebby Yus bergambar bersama pekerja di Rstoran Adam Lai. - Foto Adi Safri

Selain sup ikan segar, Restoran Adam Lai turut menawarkan 200 jenis masakan Cina Muslim disediakan sendiri oleh Adam Lai selaku ketua Chef.

Antara menu yang menjadi pilihan utama di restoran itu sayur masakan Cina, ketam kulit lembut masak sos, ketam telur masin, ketam lada hitam, udang mentega, udang sambal petai, udang goreng rangup, udang telur masin dan kari kepala ikan.

Untuk mengelakkan kempunan, anda yang bercadang membawa kawan-kawan atau keluarga makan di restoran itu, disarankan membuat tempahan awal. .

INFO: Restoran Adam Lai - 2 cawangan

  • No 69-G, Jalan Pahat H15/H, Seksyen 15, Shah Alam.
  • No. 93A Jalan Prima SG 3/2, Prima Sri Gombak, 68100 Batu Caves.
  • Waktu Operasi: Isnin - Ahad, jam 11 pagi - 11 malam.
  • Hari Jumaat dari jam 2.30 petang hingga 11 malam.

915 dibaca
Berita Harian X