;
Isnin, 3 Oktober 2016 | 12:06pm

Duterte kesal samakan perang dadah dengan Holocaust


Presiden Filipina, Rodrigo Duterte berucap dalam perjumpaan di Bandar Davao, Filipina. - Foto REUTERS

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, meminta maaf kepada komuniti Yahudi pada Ahad berikutan kenyataan terdahulu yang membandingkan kempen memerangi dadah anjurannya dengan cara pemimpin Nazi, Adolf Hitler membunuh golongan berkenaan.

"Saya mahu menjelaskan sekarang, di sini, bahawa saya tidak berniat untuk mencemarkan memori enam juta puak Yahudi yang dibunuh.

"Saya sebenarnya dirujuk sebagai Hitler, yang membunuh ramai orang. Saya meminta maaf kepada komuniti Yahudi, ia bukan niat saya, tetapi masalahnya saya dikritik, menggunakan Hitler untuk dibandingkan dengan saya," katanya pada Ahad dalam ucapan yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Kenyataan Duterte dibuat selepas pengkritik menggelar beliau sebagai 'sepupu Hitler' kerana pendekatan kontroversi untuk menghapuskan jenayah dadah.

Kumpulan hak asasi di negara itu menuduh Duterte melakukan pembunuhan di luar undang-undang dan salah laku lain, dengan anggaran 3,100 kematian sejak beliau mengambil alih jawatan tiga bulan lalu.

Duterte dipilih berdasarkan janji meluaskan pendekatan antidadah ke seluruh negara. Pemimpin berusia 71 tahun itu itu diberi gelaran 'the Punisher' sempena nama wira komik Marvel. - Agensi

267 dibaca
Berita Harian X