Selasa, 11 Oktober 2016 | 10:01pm

Suspek samun pelajar kolej di Ara Damansara ditahan


RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) yang menjadi viral di media sosial berhubung kes samun dua wanita penuntut kolej swasta di Ara Damansara, awal pagi 4 Oktober lalu.

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki yang diburu polis berhubung kes samun dua pelajar kolej swasta di hadapan pondok pengawal di Jalan PJU1A/4, Ara Damansara, Petaling Jaya, pada 4 Oktober lalu, ditahan pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata suspek ditahan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, yang menyerbu sebuah rumah di Pangsapuri Enggang Jalan 6F, Bandar Kinrara Puchong, pada jam 10 pagi.

Katanya, suspek akan dibawa ke mahkamah pagi esok untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Dalam kejadian jam 3.40 pagi itu, suspek yang memandu kereta jenis Honda Civic berwarna putih dikatakan mengekori kenderaan Perodua Myvi dipandu mangsa.

Mangsa yang menyedari tindakan suspek itu bertindak masuk ke kawasan perumahan Ara Putra dan meminta bantuan pengawal keselamatan membuka palang, tetapi tidak dibenarkan dengan alasan mereka bukan penduduk di situ.

Kejadian yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) itu menjadi viral selepas dua video berdurasi 75 dan 35 saat disebarkan di media sosial.

Menerusi rakaman video terbabit, suspek dilihat mengejar mangsa yang keluar dari Perodua Myvi sebelum kenderaan itu merempuh palang di pondok pengawal, dipercayai bergerak sendiri dan melanggar kereta lain di parkir di kawasan perumahan terbabit.

Dalam kejadian itu, mangsa tidak mengalami kecederaan dan hanya kerugian wang tunai RM1,000 serta sebuah telefon bimbit.

190 dibaca
Berita Harian X