Selasa, 18 Oktober 2016 | 12:53pm

Austria robohkan rumah kelahiran Hitler


RUMAH kelahiran pemimpin Nazi, Adolf Hitler di bandar Braunauam Inn. - Foto Reuters

VIENNA: Rumah kelahiran pemimpin Nazi, Adolf Hitler di Austria akan dirobohkan bagi menghalang dijadikan kawasan suci puak neo-Nazi, kata pihak berkuasa selepas beberapa tahun terbabit dalam perbalahan undang-undang.

"Rumah Hitler akan dirobohkan. Asasnya akan dikekalkan tetapi bangunan baru akan didirikan.

"Ia akan digunakan sama ada oleh badan kebajikan atau pihak berkuasa tempatan," kata Menteri Luar Austria, Wolfgang Sobotka kepada akhbar Die Presse.

Katanya, keputusan itu berdasarkan cadangan jawatankuasa pakar yang ditugaskan membuat keputusan apa perlu dilakukan dengan bangunan kontroversi itu yang terletak di bandar Braunauam Inn di utara negara itu.

Rumah besar berwarna kuning itu kosong sejak 2011 apabila kerajaan terbabit dalam perbalahan dengan pemilik dan juga penduduk tempatan, Gerlinde Pommer.

Selam lebih satu abad, keluarga Pommer memiliki rumah yang menyaksikan kelahiran Hitler pada 20 April 1889.

Pada awal 1970-an, kerajaan Austria menandatangani pajakan dengan Pommer dan menjadikan premis itu sebagai pusat kebajikan penduduk kelainan upaya.

Namun perjanjian itu ditamatkan lima tahun lalu apabila Pommer, tanpa dijangka enggan memberikan kebenaran melakukan kerja pengubahsuaian.

Beliau turut menolak tawaran pembelian yang dilakukan Kementerian Dalam Negeri.

Pada Julai, kerajaan meluluskan perundangan untuk merampas rumah itu daripada Pommer.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri berkata, pindaan undang-undang belum berkuat kuasa, bermakna Parlimen masih belum meluluskan pemusnahan itu. - AGENSI

215 dibaca
Berita Harian X