Sabtu, 29 November 2014 | 3:26pm

Van Persie bergelut cari keyakinan - Van Gaal


PENYERANG Manchester United, Robin van Persie. - Foto ihsan Getty Images

LONDON: Louis van Gaal akur penyerang Manchester United, Robin van Persie kini bergelut mencari keyakinan diri selepas persembahan buruk ketika menentang Arsenal.

Van Persie cuma menyentuh bola 13 kali ketika United menewaskan The Gunners di Emirates, minggu lalu sebelum Van Gaal menggantikan penyerang Belanda itu dengan pemain berusia 18 tahun, James Wilson untuk baki 15 minit terakhir.

Sepanjang 2014, van Persie hanya menyumbat lapan gol daripada 21 perlawanan Liga Perdana Inggeris dan sumbangan itu mula membimbangkan pengurus pasukan itu yang senegara dengan dia.

"Saya tidak rasa 13 itu angka kecil untuk seorang penyerang. Saya mahu meningkatkan kepincangan ini. Dia beraksi hambar ketika menentang Arsenal," kata Van Gaal.

Man United menentang Hull City di Old Trafford, malam ini dan pengurus berkenaan memberi amaran kepada van Persie dia perlu bersaing merebut tempat dalam kesebelasan pasukan.

Tambahan, pengendali berkenaan sudah bersedia membawa masuk Radamel Falcao yang kembali semula ke skuad selepas kecederaan.

Apabila ditanya sama ada kepulangan Falcao akan memberi tekanan kepada Van Persie, van Gaal berkata: "Setiap pemain saya pilih harus bersaing merebut tempat masing-masing.

"Saya hanya memilih yang terbaik dan ia harus sesuai dengan campuran pemain." - AFP

124 dibaca
Berita Harian X