Isnin, 24 Oktober 2016 | 8:33pm

Nadzmi kecewa kekasih terima lamaran lelaki lain


NADZMI Adhwa.

KUALA LUMPUR: Harapan pelakon, Nadzmi Adhwa, 24, untuk membawa hubungan cintanya selama enam tahun bersama seorang gadis ke jenjang pelamin tidak kesampaian.

Impiannya untuk meneruskan perhubungan itu ke fasa lebih serius lebur sebaik saja mengetahui buah hatinya menerima risikan lelaki lain, semalam.

Mengakui berita didengarnya itu amat mengejutkan, Nadzmi yang mula dikenali selepas membintangi drama Hati Perempuan juga berkata, beliau tertekan dan kecewa sebaik dimaklumkan mengenai perkara terbabit.

Menurutnya, beliau sesekali tidak menyangka teman wanitanya itu menerima lamaran lelaki pilihan keluarganya.

"Perkenalan selama enam tahun, sejak kami sama-sama belajar pada peringkat diploma, bukannya sekejap. Dalam tempoh itu, banyak perkara yang kami lalui bersama.

"Tiba-tiba, selama dua minggu dia menjauhkan diri. Dalam tempoh itu juga, tiga kali saya melakukan sembahyang istikharah.

"Semalam, saya dimaklumkan mengenai lamaran berkenaan dan dia mengaku menerima pilihan keluarganya," katanya ketika ditemui di sini, sebentar tadi.

Nadzmi berkata, beliau memang serius dalam perhubungan itu, malah menyimpan impian untuk menjadikan gadis terbabit sebagai isteri.

Walaupun kecewa dengan segala yang berlaku, Nadzmi bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi.

"Saya harus terima dengan hati terbuka, dia bukanlah jodoh saya.

"Pada masa sama, saya nekad untuk tidak lagi menoleh ke belakang. Sebaliknya, saya ambil peluang ini untuk terus bekerja keras dan fokus dalam kerjaya lakonan saya," katanya.

Terbaharu, Nadzmi yang turut mengacarakan rancangan Jalan Jalan Makan Angin akan tampil dalam drama tribute untuk Tan Sri P Ramlee, Biar Biola Berbicara bagi siaran RTM, Bella Mencari Cinta (TV9) dan Cinta Roller Coaster (TV3).

1508 dibaca
Berita Harian X