Rabu, 26 Oktober 2016 | 2:33pm

Bekas pembantu tadbir mengaku salah palsu dokumen kerajaan


MAZITA Ngah (kiri) dikenakan hukuman denda RM13,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan memalsukan dokumen kerajaan negeri pada 2011. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas pembantu tadbir Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Dungun, didenda berjumlah RM13,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan memalsukan dokumen kerajaan negeri pada 2011.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman ke atas Mazita Ngah, 51, selepas mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Mazita dari Jalan Nibong Stesen, Dungun didenda RM6,000 bagi pertuduhan pertama dan RM7,000 bagi pertuduhan kedua.

Mohamad Haldar turut menjatuhkan hukuman penjara masing-masing enam bulan bagi setiap pertuduhan jika tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Mazita didakwa memalsukan dua dokumen iaitu resit pelbagai hasil tanah kerajaan negeri Terengganu atas nama kakaknya, Maznah Ngah, 59, berjumlah RM1,550 bagi pertuduhan pertama dan RM225 bagi pertuduhan kedua.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat melakukan penipuan Maznah sudah membuat pembayaran bagi Notis Genap Masa Hasil Tanah Dibayar bagi nombor lot PT2345 melalui borang 5A, Kanun Tanah Negara seperti resit berkenaan.

Ibu kepada empat anak yang berbaju kurung ungu dan bertudung hijau itu didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Daerah Dungun pada 11 September 2011.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Amer Abu Bakar Abdulllah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

252 dibaca
Berita Harian X