Khamis, 27 Oktober 2016 | 8:53pm

FMC bawa artis muda jelajah selatan tanah air


TASHA (dua dari kanan) bersama rakan artis.

KUALA LUMPUR: Diperkuatkan dengan kemunculan ramai bakat baharu yang semakin mendapat tempat di hati peminat seni muzik, syarikat rakaman FMC Music kembali berkeyakinan untuk mengadakan siri jelajah mereka, tahun ini.

Aktiviti jelajah mempromosikan produk terbitan mereka sudah sekian lama tidak dilakukan berikutan kesuraman yang melanda industri rakaman negara, sejak beberapa tahun lalu.

Kini, dengan kehadiran ramai penyanyi muda yang kian meniti bibir peminat seperti Tasha Manshahar, Syed Shamim, Ernie Zakri, Wani, Haqiem Rusli, Sissy Imann, Tajul, Eleena Haris dan Wany Hasrita di bawah naungan mereka, syarikat berkenaan kembali bersemangat menganjurkan siri jelajah besar-besaran.

Memeriahkan sama acara berkenaan ialah beberapa lagi artis di bawah label terbabit seperti Farah Farhana, Hez Hazmi, Baron Bros, Haziq (Putera Band) dan Wan Azlyn. Tidak ketinggalan menyertai aktiviti itu ialah vokalis Selasa Band dari Indonesia, Dhena.

Menurut kenyataan yang dikirimkan kepada BH Online, syarikat terbabit dengan kerjasama Joox dan Best FM akan memulakan aktiviti berkenaan di beberapa lokasi di selatan tanah air.

Diadakan dalam bentuk konsert mini, artis terbabit akan menjelajah ke tiga lokasi iaitu Kluang Mall pada jam 2 petang, diikuti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat, pada jam 8 malam, 29 Oktober ini.

Pada keesokannya, mereka akan singgah pula di Mydin Mall, Jasin, Melaka pada jam 2 petang.

Peminat yang hadir ke konsert mini itu nanti bukan saja dapat berhibur dengan artis kesayangan mereka, malah berpeluang membeli album Tasha Manshahar, Bukan Aku, dan album Syed Shamim, Melodi, dengan harga istimewa.

Antara lagu popular yang dijangka dipersembahkan pada konsert mini itu termasuk Oh No! (Tasha Manshahar), I Love U (Syed Shamim), Jangan Marah (Ernie Zakrie), Terlalu Rindu (Eleena Haris), Lepaskan (Wani), Segalanya (Haqiem Rusli), Keliru (Sissy Imann), Tetap Diri Mu (Dhena Selasa Band) dan single yang kian disukai ramai, Sedalam Dalam Rindu nyanyian Tajul, iaitu adik Achik Spin.

dibaca
Berita Harian X