Ahad, 30 Oktober 2016 | 8:16pm

162 veteran ATM terima PJM


PANGLIMA Tentera Darat ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor bersalaman bersama para veteran di Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Hotel Park Avenue. - Foto Eizairi Shamsudin

SUNGAI PETANI: Seramai 162 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk lapan wanita menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sebagai menghargai jasa pengorbanan mereka mempertahankan tanah air khususnya daripada ancaman komunis.

Semua veteran ATM yang pernah berkhidmat ketika era ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) dan Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) antara Januari 1969 hingga 1990 itu menerima pingat berkenaan yang disampaikan Panglima Tentera Darat, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, dalam satu majlis khas di sini, hari ini.

Raja Mohamad Affandi berkata, ATM khususnya melalui Jabatan Hal Ewal Veteran (JHEV ) akan memastikan kebajikan anggota dan keluarga veteran terus dijaga biar pun jasa dan pengorbanan mereka tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Katanya, ramai warga ATM yang terkorban atau tercedera ketika menjalankan pelbagai operasi di seluruh negara sehingga yang cacat anggota, isteri menjadi balu, anak kehilangan bapa dan ibu kehilangan anak kerana terbunuh ketika menyertai operasi demi memastikan keamanan dan kedaulatan negara dari ancaman musuh.

"Sebagai menghargai segala jasa dan pengorbanan perwira negara, kerajaan menganugerahkan pingat PJM kepada semua veteran yang terbabit dalam pelbagai operasi ketika bertugas dahulu....pingat ini harganya tidak seberapa, tetapi nilainya amat tinggi buat veteran ATM.

"Pada masa sama ATM akan terus memastikan segala kebajikan veteran sentiasa terbela dengan mewujudkan beberapa inisiatif baharu termasuk kepada anggota tentera dan veteran yang tercedera ketika bertugas...sebelum ini anggota terbabit hanya dibayar elaun minimum RM150 sebulan, namun selepas ini mereka akan menerima elaun berdasarkan gaji terkahir ke bertugas.

"Selain itu saya juga mahu semua persatuan veteran agar terus bekerjasama dengan JHEV dalam usaha memastikan kebajikan veteran ATM terbela," katanya.

Pada majlis itu, Raja Mohamed Affandi turut menyampaikan sumbangan Skim Bantuan Kebajikan Dan Pendidikan JHEV ATM kepada 20 penerima, selain Bantuan Sara Hidup, Bantuan Peralatan Pesakit, Bantuan Persekolahan dan Bantuan Yayasan Veteran ATM serta Bantuan Kemasukan Universiti Awam.

219 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »