Isnin, 31 Oktober 2016 | 9:24am

Isu air: Siasat juga elemen rasuah

SELEPAS Bajet 2017 dibentangkan, maka ramailah yang buat komen, sama ada dalam media rasmi atau komen sendiri menerusi media sosial serta blog masing-masing. Komen mereka pelbagai daripada yang mengkritik sehingga yang menyokong.

Paling menarik ialah perang mulut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berhubung isu air, di Parlimen.

Asalnya adalah perbahasan oleh Azmi mengenai Bajet 2017, namun apabila menyebut nama Noh yang didakwa sebagai menyibuk kerana mencampuri urusan air yang tiada kena-mengena dengan portfolionya, menyebabkan Pengerusi UMNO Selangor itu melenting.

Dahulu, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dimiliki oleh Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB), tetapi diambil alih kerajaan Selangor. Bermula Mac 2016 pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bertukar pembekal baharu kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) yang dijadikan satu daripada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB).

Bekalan air kerap terputus

Sejak pengambilalihan, banyak kali pula bekalan air terputus. Punca utamanya pula kerana air sungai tercemar. Azmin yang cuba mempertahankan cemuhan dan dakwaan gagal menangani isu air, mendakwa sabotaj menjadi punca dan meminta siasatan dilakukan.

Betulkah sabotaj punca masalah sehingga ada kawan kita kaum India di Kajang terpaksa menyambut Deepavali semalam tanpa air? Atau ada punca lain seperti kegagalan mengurus atau tiada kemahiran menangani isu berkenaan. Atau ada elemen rasuah?

Khabarnya, pengurusan baharu ini tidak seperti ketika SYABAS di bawah PNHB. Dahulu, jika berlaku krisis besar, pengerusinya sendiri turun padang. CEO juga turun padang untuk bantu pengurusan kanan serta pegawai dan petugas bawahan menguruskan krisis.

Tak wajar tuding jari

Tetapi, tidak wajar terus tuding jari kepada bos besar SYABAS atau KDEB. Mungkin masih baru dan perlu masa untuk belajar dan mendalami isu bekalan air di Lembah Klang. Namun, jangan pula ambil masa terlalu lama. Jika tak mampu, mungkin boleh lantik orang lain.

Untuk rekod, CEO Air Selangor ialah Suhaimi Kamaralzaman yang juga Presiden dan Pengarah KDEB. CEO SYABAS sebelum ini, Datuk Ruslan Hassan dan Ketua Pegawai Operasi atau COO, Abd Rashid Abd Satar ditamatkan perkhidmatan pada November 2015. Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga pula ialah Tan Sri Rozali Ismail.

Selain sabotaj, jangan pula tolak kemungkinan berlaku rasuah. Kerajaan Selangor, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga wajar siasat unsur rasuah sehingga membawa kekerapan pencemaran sungai.

Contohnya, siasat juga kilang yang mendakwa menggunakan sistem pelupusan sisa menepati syarat. Atau ada yang menggunakan sistem murahan bagi menjimatkan kos tetapi tidak dikenakan tindakan kerana ada yang tutup sebelah mata.

139 dibaca
Berita Harian X