Sabtu, 5 November 2016 | 12:06am

Anisah derita kerana ujian mamogram gagal kesan sel barah


UJIAN mamogram. - Foto hiasan

ANISAH Abu Bakar mula menjalani ujian mengesan barah payudara menerusi mamogram ketika usianya mencecah 45 tahun kerana sedar dirinya berisiko diserang barah.

Dia melihat bagaimana dua sepupu sebelah ayahnya diserang kanser malah kakaknya sendiri turut tidak lepas daripada sel berkenaan.

Bagaimanapun, setiap ujian mamogram yang dijalani tidak pernah menunjukkan sebarang petanda dirinya terdedah kepada risiko sama dialami kakak dan sepupunya itu.

"Suatu hari saya perasan puting payudara sebelah kiri tertarik ke dalam saya masih tidak pergi membuat pemeriksaan ke hospital pada masa itu.

"Hanya selepas hampir sebulan saya pergi menjalani ujian mamogram dan imbasan mengesan tumor sebesar lapan sentimeter," katanya yang mengakui terkejut walaupun sudah bersedia dengan risiko berkenaan.

Ujian awal gagal kesan serangan

Ibu yang mempunyai seorang anak lelaki ini masih masih tertanya-tanya bagaimana mamogram yang dijalaninya selama ini tidak dapat mengesan tumor berkenaan.

Anisah kemudiannya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani biopsi iaitu mengeluarkan cebisan tumor untuk mengenalpasti sama ada sejenis barah atau ketumbuhan biasa.

Seminggu selepas ujian berkenaan, Anisah terpaksa pasrah apabila tumor berkenaan disahkan barah dan lebih menyedihkan ia sudah berada pada tahap ketiga!

Anisah perlu menjalani rawatan kemoterapi terlebih dulu selama enam kali dalam tempoh setiap tiga minggu bagi membunuh sel barah sebelum pembedahan dijalankan pada Mei 2016.

"Doktor memberitahu payudara kiri saya tidak lagi dapat diselamatkan dan perlu dibuang keseluruhannya menerusi pembedahan mastektomi.

"Pada masa sama, saya juga menjalani pembedahan rekonstruktif iaitu menampal semula payudara yang dibuang dengan menggunakan otot di bahagian belakang badan serta pembedahan membuang ketumbuhan pada payudara kanan," katanya.

Banyak habiskan masa berehat

Dua minggu selepas pembedahan, Anisah lebih banyak menghabiskan masa berehat di rumah dan hanya keluar ke tempat awam dua bulan selepas itu.

Anisah mengakui kurang keyakinan diri dan takut berhimpit di kawasan orang ramai kerana bimbang dirinya dilanggar kerana luka pembedahan yang masih baharu pulih.

Beliau mula bersenam dengan berjalan perlahan bagi mendapatkan semula tenaga sebelum kembali bekerja dan meraih semangat baharu.

INFO:

Faktor risiko:

- Satu daripada 500 wanita berusia 30 an mempunyai kebarangkalian tinggi mengalami barah payudara.

- Sejarah keluarga

- Pernah menghidap barah sebelum ini

Kaedah mengesan barah:

1. Mamografi

- Mamografi adalah sinar X menghasilkan imej payudara pada filem.

- Jika ada kawasan pada mamogram mencurigakan atau tidak jelas, pemeriksaan tambahan mungkin dijalankan.

-Anda boleh lakukan pemeriksaan mamografi di hospital kerajaan dan juga swasta.

2. Ultrasonografi

-Ultrasonografi menggunakan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi untuk menentukan sifat ketumbuhan sama ada pepejal atau berisi bendalir.

3. Biopsi

- Biopsi adalah ujian lanjutan bagi memeriksa tisu barah.

- Sedikit sampel tisu payudara diambil dan diperiksa menggunakan mikroskop.

202 dibaca
Berita Harian X