Ahad, 6 November 2016 | 12:08am

Krisis rumah tangga: Diana Danielle luah perasaan, mahu peluang kedua.

KETIKA usia perkahwinan menjengah empat tahun pada 3 November lalu, bahtera rumah tangga Diana Danielle, 25, dan pelakon yang juga pengarah, Farid Kamil, 36, diuji dugaan berat yang hampir memisahkan mereka.

Lantaran terlalu mengikut kata hati, Diana mengakui, kebahagiaan rumah tangganya diperjudikan.

Ketika diuji, pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini sudah bertekad melepaskan saja ikatan perkahwinan yang masih lagi hijau.


PELAKON berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Diana Danielle. - Foto Nik Hariff Hassan

Bukan tidak sayang dengan ikatan yang dibina atas dasar cinta itu, namun dirinya tidak lagi sanggup menjeruk rasa.

Ditemani seorang peguam, kehadiran Diana di Mahkamah Syariah pada minggu lalu mencetuskan spekulasi, apakah pelakon itu mahu memfailkan perceraian?

Diana ketika dihubungi mengakui, rumah tangganya dilanda badai, namun dia dan Farid berusaha untuk menyelamatkannya.


DIANA akui, rumah tangganya dilanda badai, namun dia dan Farid berusaha untuk menyelamatkannya. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Saya terlalu mengikut emosi dan perasaan marah hingga sanggup bertindak sejauh itu. Lumrah dalam kehidupan berumah tangga, pasti ada gelora.

"Saya akui perkahwinan kami juga dilanda badai, tetapi masih boleh diselamatkan. Selama ini, saya terlalu banyak memendam rasa dan apabila tidak lagi tertanggung, ia meletus.

"Tindakan saya itu bagaimanapun, tidak tepat kerana tidak terlebih dulu bersemuka dan berbincang dari hati ke hati dengan suami. Saya hanya memikirkan hati sendiri yang terluka, tanpa menyedari saya juga pernah melukakan hati suami. Tidak dinafikan, Farid terkejut dengan tindakan saya.

"Bagi saya, apa yang berlaku itu menjadi amaran buat Farid yang tidak pernah menyangka, saya berani bertindak sejauh itu," kata Diana.


PELAKON, Farid Kamil di Hotel Royal Park. - Adi Safri

Anak kelahiran Houston, Texas, Amerika Syarikat itu mengakui, masih menyayangi ikatan perkahwinan mereka, namun sikap Farid ada ketika membuat dirinya tertekan.

"Kami banyak melalui onak duri ketika bercinta dan berkahwin. Lapan tahun kami mengharunginya bersama, ia bukan jangka masa yang pendek. Saya sangka dalam tempoh itu, saya sudah benar-benar mengenali suami luar dan dalam. Sangkaan saya itu tersasar.

"Apabila tercetus perbalahan besar, baru saya sedar banyak perkara yang belum saya faham mengenai suami. Farid memujuk dan meluahkan isi hatinya selepas mengetahui saya membawa masalah rumah tangga ke mahkamah. Sudah tentu dia tidak setuju kami bercerai.

"Selepas bersemuka, baru jelas kami sama-sama melakukan kesilapan. Saya akui, Farid suami yang baik dan ada ketika, dia hanya mengikut telunjuk saya. Tetapi, jauh di sudut hati, dia banyak memendam rasa. Apabila tidak lagi tahan dengan situasi itu, lalu keluar pelbagai ayat kasar dan menyakitkan hati. Saya pula tidak boleh menerimanya," katanya.


DIANA Danielle bersama anak-anaknya, Muhammad dan Nur Aurora. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Ibu kepada dua cahaya mata, Muhammad dan Nur Aurora itu, mengakui dirinya silap apabila sering beranggapan suaminya seperti ingin mengambil kesempatan atas setiap pengorbanannya.

"Biasalah lelaki, tanggungjawab terhadap anak-anak kadang kala dilepaskan sepenuhnya ke bahu isteri. Saya tidak fikir, suami juga bekerja keras menyara keluarga. Tidak adil untuk saya letakkan 100 peratus kesalahan di atas bahunya. Apabila jadi begini, baru saya sedar ini yang dikatakan dugaan berumahtangga.

"Ketika orang luar melihat kebahagiaan kami, sebenarnya kami sedang menyembunyikan kepincangan yang berlaku. Alhamdulillah, semuanya sudah selesai apabila masing-masing meluahkan isi hati. Kami harus memberi peluang kedua kepada diri masing-masing untuk memperbetulkan kesilapan," katanya.

Diana berkata, masalah komunikasi antara mereka yang menyebabkan kepincangan berlarutan hingga dirinya sanggup bertindak tanpa berfikir panjang.

"Apa juga masalah yang timbul, setiap pasangan perlu berbincang dan meluahkan ketidakpuasan hati, bukan memendam rasa. Sebelum ini, kami 'makan hati' dengan sikap masing-masing yang tidak mahu meluahkan apa yang terbuku di hati. Lama-kelamaan, ia menjadi barah dalam rumah tangga

.

"Saya banyak belajar daripada kesilapan kami. Saya berkahwin pada usia yang muda, jadi pengalaman ini membuatkan saya lebih matang. Perkahwinan ada ketika menyakitkan, tetapi ia akan menjadi manis jika kita banyak bersabar dan berusaha memperbaiki kesilapan diri," katanya.

Pelakon yang diperkenalkan menerusi filem Idola ketika berusia sembilan tahun itu mengakui, lega apabila suaminya mahu berubah dan masing-masing ingin memperbetulkan kesilapan diri.

"Saya tahu Farid sayangkan saya dan rumah tangga kami. Begitu juga saya. Jika ditakdirkan kami berpisah, saya tidak fikir akan berkahwin lain. Saya seperti mama, cintanya kepada bapa adalah cinta mati. Sampai sekarang Mama tidak berkahwin lagi.

"Saya juga 'cinta mati' kepada Farid. Saya harap jodoh kami berpanjangan hingga ke akhir hayat," kata Diana yang sedang menanti tayangan filem terbaharunya, Hanyut, yang bakal ditayangkan kepada umum bermula 24 November ini.

14944 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »