Ahad, 6 November 2016 | 5:54pm

Ippo Hafiz teruja kerjasama dengan Janna Nick


JANNA Nick (kanan) menjadi model klip video lagu Terindah dendangan Ippo Hafiz.

KUALA LUMPUR: Jika melihat pencapaiannya, penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz mungkin layak digelar 'Raja Runut Bunyi'.

Mengapa tidak, selepas lagu Kekal Bahagia yang menjadi runut bunyi drama Cinta Si Wedding Planner serta single Rahsia yang melatari drama Aku Pilih Kamu 'meledak', Ippo bakal menyumbang dua lagi karyanya untuk drama slot Akasia di TV3.

Berkongsi kisah terbaharunya, Ippo memberitahu, dia menulis runut bunyi untuk drama Suamiku Paling Sweet dan Biar Aku Jadi Penunggu.

Apa yang menarik, kata Ippo, dalam drama Biar Aku Jadi Penunggu, dia bekerjasama dengan teraju utamanya iaitu Janna Nick.

"Sebelum ini, kami pernah merancang bergabung idea menghasilkan lirik. Akhirnya, impian itu tercapai melalui runut bunyi ini yang menggunakan judul sementara Biar Aku.

"Lagu ini akan didendangkan Ronnie Hussein," katanya kepada BH Online.

Ippo berkata, Janna selama ini banyak menulis puisi.

"Secara kebetulan, Janna ada koleksi puisi dan saya lihat, ia kena dengan jalan cerita drama ini. Saya olah lirik asal dan menyelitkan puisi Janna termasuk pada bahagian korus," katanya.


IPPO dan Janna turut berkolaborasi menghasilkan lirik sebuah lagu untuk drama Biar Aku Jadi Penunggu disiarkan di TV3 tak lama lagi.

Ippo atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Yaziz berkata, berdasarkan pemerhatiannya, Janna sangat berbakat.

"Janna boleh menyanyi, berlakon dan menghasilkan puisi. Kami juga pernah berganding dalam video muzik lagu dendangan saya berjudul Terindah. Penggambarannya dilakukan April lalu," katanya.

Setakat ini, sudah ada 35 lagu dihasilkan Ippo untuk runut bunyi drama, telefilem dan filem.

"Insya-Allah, tahun hadapan lagu saya dalam filem Kimchi Untuk Awak arahan Michael Ang akan ditayangkan. Saya mencipta dan menyanyikan lagu tema filem terbabit dengan judul sama," katanya.

777 dibaca
Berita Harian X