Ahad, 6 November 2016 | 7:27pm

Peminat doakan Diana Danielle, Farid Kamil tabah hadapi ujian

KUALA LUMPUR: Susulan laporan eksklusif BH Ahad mengenai pengakuan bintang jelita, Diana Danielle, 25, rumah tangganya bersama Farid Kamil, 36, goyah, ramai peminat mendoakan kebahagiaan pasangan pelakon itu.

Semalam, Diana dilihat memuat naik gambar Farid bersama anak perempuan mereka di laman Instagram dengan keterangan 'Her Babah Is Everthing' (bapa adalah segala-gala baginya).

Sehingga petang tadi, status berkenaan menerima lebih 13,000 'likes' daripada pengikut Diana.

Ramai peminat memberi komen yang antara lain mengharapkan pasangan itu dapat menangani semua masalah dan berusaha menjernihkan suasana.

Ada juga peminat yang risau dengan perkembangan terbaharu pasangan itu selain mengharapkan laporan berhubung krisis rumah tangga Diana dan Farid, tidak benar.

Tindakan Diana memuat naik gambar terbabit memberi gambaran pelakon filem Hanyut itu seolah-olah sedang berusaha menyelamatkan mahligai yang dibina bersama Farid.

Sementara itu, usaha BH Online untuk menghubungi Farid menemui jalan buntu. Mesej melalui aplikasi WhatsApp yang dihantar kepada pelakon terbabit dibaca tetapi tidak berbalas.

Dalam pengakuannya kepada BH Ahad, Diana antara lain menyebut sikap Farid kadang kala membuatkan dirinya tertekan.

Namun, Diana yang sejak akhir-akhir ini dilihat aktif menghadiri acara hiburan, berusaha menyelamatkan rumah tangganya terutama selepas berbincang 'hati ke hati' dengan Farid.

Diana dan Farid mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 3, dan Nur Aurora yang berusia setahun.

3274 dibaca
Berita Harian X