Selasa, 8 November 2016 | 10:47am

Van Persie sahkan dia tidak buta


BEKAS penyerang Arsenal dan Manchester United Robin van Persie. - Foto Reuters

ISTANBUL: Bekas penyerang Arsenal dan Manchester United Robin van Persie meredakan kebimbangan apabila mengesahkan kecederaan mata yang dialaminya ketika beraksi bersama kelab Turki, Fenerbahce Ahad lalu tidak teruk.

Penyerang berusia 33 tahun itu mengalami kecederaan berkenaan selepas bertembung dengan pertahanan Akhisar Belediyespor selepas 37 minit aksi sebelum terpaksa diusung keluar dengan rakaman televisyen menyaksikan darah berlumuran di mata kirinya.

Tetapi dalam satu kenyataan selepas insiden itu, penyerang berkenaan mengesahkan hanya kelopak matanya koyak dan matanya tidak mengalami kecederaan.

"Kelopak mata saya sedikit koyak dan selepas ujian di hospital mata saya tidak rosak, jadi semuanya baik!," kata Van Persie dalam mesej di Facebooknya.

"Perkara ini berlaku dalam bola sepak," katanya.

Van Persie yang turut menyumbat gol ketika pasukannya menang 3-1 dalam pertemuan itu berkata, dia gembira dengan keputusan berkenaan dan menyifatkan ia satu lagi langkah kebangkitan di bawah pengurus Belanda Dick Advocaat.

Malah dia menegaskan ingin beraksi dalam pertemuan menentang musuh tradisi Galatasaray, 20 November ini.

"Saya sangat gembira dengan kemenangan pasukan. Sekarang fokus harus dihalakan untuk perlawanan seterusnya - pertembungan derby," katanya.

Kecederaan yang dialami Van Persie itu mencetuskan kebimbangan ramai dengan akhbar The Sun menulis tajuk di laman webnya: Van Persie "tidak boleh melihat lagi".

Tetapi doktor Fenerbahce, Burak Kunduracioglu dalam satu kenyataan berkata kecederaan pemain itu 'tidak teruk' dan keadaannya 'baik'. - Agensi

53 dibaca
Berita Harian X