Selasa, 8 November 2016 | 7:05pm

Kanak-kanak maut tergelincir dari bumbung rumah

KULAI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah blok di Flat Taman Putri di sini, semalam.

Mangsa, Loh Xiao Rou, dipercayai tergelincir sebelum terjatuh ketika mengikut bapanya membetulkan bumbung rumah yang bocor kira-kira jam 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Razak Md Said, berkata bapa kanak-kanak itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 3 petang.

"Mangsa mengikut bapanya memanjat bumbung di tingkat empat flat berkenaan kerana ingin membetulkan bumbung yang bocor. Bagaimanapun, bapa mangsa tidak menyedari mangsa mengekorinya sebelum terdengar bunyi sesuatu terjatuh," katanya di sini, hari ini.

Razak berkata, sebelum kejadian itu, berlaku hujan dan dipercayai kanak-kanak itu tergelincir kerana licin.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) untuk bedah siasat.

78 dibaca
Berita Harian X