Isnin, 14 November 2016 | 12:11am

Ulam-ulaman ganti coklat rahsia kecantikan Nur Shahida

WANITA jelita ini sudah menjaga 'aset' keayuan dimiliki sejak usia kecil dan ia terus dikekalkan sehingga hari ini menerusi amalan serta petua kecantikan yang diwarisi daripada insan sekeliling, khusus ibunya.

Malah, kejelitaan dimiliki Pengarah Eksekutif D'Herbs, Datin Nur Shahida Mohd Rashid, 31, hari ini adalah hasil daripada rutin kecantikan yang diamalkan sejak berusia tujuh tahun.

Mungkin bagi kanak-kanak seusia itu, tidak tahu langsung nak menjaga penampilan, yang mereka kisah bermain bersama rakan.

Berbeza dengan kanak-kanak lain, Nur Shahida memula menjaga kecantikan dan penampilan pada usia begitu muda.

Kini, keanggunan dan penampilannya lebih terserlah apabila menjadi isteri kepada Pengasas syarikat kosmetik D'Herbs Healthy (M) Sdn Bhd (D'Herbs), Datuk Aliff Syukri Kamarzaman, yang meneraju sebuah syarikat kecantikan tempatan yang cukup popular.

Sudah tentu Nur Shahida perlu sentiasa cantik menawan dan awet muda supaya dapat meyakinkan peminat jenama kosmetik miliknya agar terus setia menggunakan produk keluaran mereka.

Tidak hairanlah, beliau sendiri menjadi model kosmetik dan testimoni hampir kesemua produk keluaran D'Herbs dengan kejelitaan asli dimiliki.


NUR Shahida suka melawa sejak berusia 7 tahun, jadi model kosmetik produk sendiri. - Foto Zunnur Al Shafiq

Suka kongsi petua kecantikan

Wanita berjaya ini tidak lokek berkongsi petua kecantikan, semuanya diceritakan tanpa berahsia.

Katanya, ulam-ulaman menjadi menu wajib dalam hidangannya kerana ternyata atas kepercayaan ia boleh memelihara kesihatan dan kecantikan secara dalaman sejak kecil lagi.

Jika kanak -kanak seusia beliau ketika itu gemar makan coklat, tetapi beliau pula mengambil ulaman dan sayuran sebagai pilihan utama menu.

Malah, ulam seperti pegaga, timun, ulam raja dan kacang botol menjadi hidangan paling digemari sehingga hari ini.

"Ini kerana ibu, Rohani Hassan penggemar ulam. Jadi saya belajar makan ulam daripada ibu," katanya.

Amalan kecantikan itu kini diwarisi anaknya apabila mereka lebih gemar makan ulam dan sayuran.

Kesemua anaknya, Ahmad Ahyan (8), Qadejah El Zahra (6) dan Ibraheem Adham (4), menggemari makanan berkhasiat itu walaupun masih kecil.


NUR Shahida membuat demonstrasi solekan di bengkel Solekan D'Herbs di Kota Damansara. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Minat melawa sejak kecil

Berbicara soal kecantikan, Nur Shahida berkata, ketika usia baru mencecah Darjah Satu, beliau sudah gemar melawa.

Jika kanak-kanak lain sibuk dengan alat mainan dan tidak kisah kelihatan comot, tidak pada anak ketiga dari tujuh beradik ini.

Beliau mahu sentiasa kemas , cantik dan bergaya dan enggan keluar rumah dalam keadaan selekeh.

Lantaran, pakaian, kasut dan alat solekan ibu sentiasa menjadi 'buruan' seumpama alat mainan.

"Memang saya minat mencantikkan diri sejak kecil lagi. Biasanya, gincu bibir ibu menjadi sasaran utama saya. Malah, saya kerap berangan dan berlakon seolah-olah saya pengacara.

"Ibu pula wanita berkerjaya. Jadi tentunya gemar bersolek dan sentiasa tampil bergaya. Saat itu, ibu memang sumber inspirasi saya untuk nampak sentiasa cantik," katanya.

Ketika zaman sekolah menengah pula, Nurul Shahida sudah pandai menjaga kecantikan kulit. Buktinya, beliau akan memakai krim wajah sebelum ke sekolah.

"Saya memang suka melawa, bersolek dan tidak akan keluar rumah tanpa memakai krim," katanya.

Justeru, sehingga ke hari ini, anak kelahiran Sungai Petani umpama remaja dengan memiliki kehalusan kulit dan figura badan persis anak dara.


NUR Shahida (dua dari kanan) membuat demonstrasi solekan di bengkel Solekan D'Herbs di Kota Damansara. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Gemar baca bahan kecantikan

Apatah lagi ketika usia 17 tahun lagi, beliau sudah suka membaca dan sentiasa membuat rujukan di Internet berkenaan jenis produk dan fungsi ramuan yang digunakan.

Tidak hairanlah, hari ini, hampir kesemua ramuan dalam produk kecantikan sudah diketahui rahsia kebaikannya.

"Saya masih lagi suka meneliti setiap ramuan dalam produk kecantikan dan sifat ingin tahu kebaikan ramuan digunakan masih tinggi. Jadi, daripada pemilihan ramuan, pembungkusan dan reka bentuk produk, memang saya lakukan sendiri kerana minat," katanya.


ALIFF Syukri dan Nur Shahida membantu peserta membuat solekan di bengkel Solekan D'Herbs. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Suami umpama perunding imej

Selepas berkahwin, Nur Shahida lebih bertuah kerana suaminya, Aliff mempunyai minat sama sepertinya.

Mereka pasangan secocok yang gemar tampil kemas, bergaya dan anggun.

Namun, di sebalik kecantikan dan personaliti beliau, suami adalah pengkritik tetap yang tidak jemu memastikan beliau bijak memilih gaya mengikut peredaran zaman.

"Saya lebih ringkas dalam pemilihan imej. Sikap cerewet datuk terhadap penampilan membantu saya kelihatan begini.

"Biasanya, beliau banyak membantu penampilan saya terutama soal pemilihan pakaian," katanya.

Malah, setiap pagi, suaminya akan memastikan mereka berdua berjogging selama satu jam di sekitar kawasan rumah mereka.

"Suami ambil berat kesihatan dan penjagaan berat badan. Jadi, saya memang wajib kena ikut beliau jogging seawal jam 7 pagi setiap hari.

"Di rumah, hidangan makanan kami biasanya lebih kepada makanan rebus dan tidak bergoreng," katanya.


NUR Shahida (tengah) bersama model yang telah siap di solek. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Miliki ibu mentua berdisiplin

Lebih bertuah Nur Shahida dikelilingi individu yang miliki aura positif dan sentiasa mengamalkan rutin penjagaan dan kecantikan secara konsisten.

Ibu mentua yang juga Pengasas Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim adalah individu yang banyak memberi nasihat dan panduan kecantikan kepada beliau.

"Sikap disiplin ibu mentua terhadap pengambilan dan penjagaan pemakanan membantu saya memiliki tubuh langsing.

"Ketika tempoh berpantang, ibu mentua akan memastikan nasi dihidangkan kepada saya dalam keadaan panas. Memang pantang ibu mentua, jika saya makan nasi sejuk.

"Waktu pagi, saya akan dimandikan air herba dan memakai bengkung sepanjang 24 jam. Memang tidak boleh buka langsung," katanya.

Ketika tempoh 20 hari berpantang pula, beliau sendiri mengambil inisiatif berlari anak di dalam bilik selama 15 minit setiap pagi dan petang untuk mengekalkan badan ideal.

"Ibu berpantang perlu menjadi pemakanan dan melakukan senaman. Memang waktu muda kita tidak merasa apa -apa kesakitan tetapi boleh memudaratkan ketika usia tua nanti," katanya.

Beliau sentiasa menjaga kecantikan tetapi sentiasa berwaspada dengan soal kesihatan.


NUR Shahida (kiri) memberi penerangan di bengkel Solekan D'Herbs. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sentiasa kekal sihat cantik

"Setiap tiga bulan, saya akan memeriksa darah dan memastikan kolesterol dalam darah terkawal.

"Pada usia ini kita perlu menitikberatkan penjagaan diri kerana hormon mula merudum. Apabila hormon menurun, ia mempercepatkan proses menopaus berlaku menyebabkan wanita berada dalam keadaan tertekan, murung dan sukar tidur. Jadi, perlu cuba atasi masalah hormon dulu sebelum memikirkan perkara lain," katanya.

Kecantikan luaran itu lebih indah jika disusuli dengan keindahan peribadi diri.

"Yang taksub buat pembedahan plastik atau rawatan estetik, tidak ada masalah jika tidak mengubah ciptaan Allah.

"Amalan kecantikan semula jadi atau gunakan produk bersesuaian. Ibu berkerjaya dan suri rumah perlu menjaga penampilan supaya sentiasa yakin dan ceria," katanya.

Info: Definisi cantik pada Nur Shahida

  • Cantik luar dalam itu lebih indah
  • Tidak suka solekan tebal
  • Pemilihan gaya - ringkas
  • Kecantikan asli adalah pemberian Allah
  • Gunakan produk berasaskan bahan semula jadi
  • Guna produk bersesuaian dengan kulit
1613 dibaca
NUR Shahida (tiga dari kanan) memberi penerangan di bengkel Solekan D'Herbs. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Berita Harian X