Selasa, 15 November 2016 | 12:13am

Fasha terbuka untuk terima cinta baharu

SELEPAS hampir setahun hidup sendirian, bintang jelita, Fasha Sanda kini mula terbuka hati untuk menerima kehadiran cinta baharu dalam hidup.

Bahkan, pelakon drama bersiri Lara Aishah ini mendedahkan, ketika ini ada beberapa teman yang mula rapat dengannya. Cuma, wanita beranak dua ini enggan tergesa-gesa dalam mengatur langkah ke peringkat seterusnya.

Sebaliknya, bintang kelahiran Johor Bahru ini mengambil pendekatan untuk bersahabat terlebih dulu sehinggalah segala-galanya kian pasti.

Fasha atau nama penuhnya Nur Fasha Sandha Hassan, 32, sah berpisah dengan bekas suami, Rizal Ashram Ramli atau Jejai, 39, pada Januari lalu

"Betul, saya sudah terbuka hati untuk menerima lelaki lain ke dalam hidup. Cuma, saat ini saya belum lagi membuat sebarang pengesahan kami pasangan yang bercinta atau sebagainya. Saya lebih suka kami bersahabat terlebih dulu.

"Ya, saya ada beberapa kawan yang rapat dengan saya, tetapi saya mahu mengkategorikan mereka sebagai kawan baik dulu. Bak kata orang, bersahabat lebih kekal lama," katanya kepada BH.


FASHA Sanda kini mula terbuka hati untuk menerima kehadiran cinta baharu dalam hidup. - Foto Shiraz Ali

Bertemu pelakon Anak Halal ini pada majlis sambutan ulang tahun hari lahir kedua anak perempuannya, Putri Raysha Jemyma, di Plaza Damas, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Fasha juga nyata tenang dan tampak gembira ketika berkongsi isi hatinya.

Tambah Fasha, walaupun sudah hampir setahun bercerai dengan Jejai, bukan mudah untuknya meletakkan sesebuah perhubungan ke dalam fasa percintaan. Mujurlah mereka yang rapat dengan aktres ini faham dengan situasi dihadapi wanita kental ini.

Sementara itu, berbicara mengenai sambutan hari lahir Jemyma, Fasha tidak menyangka majlis yang dirancang dengan sederhana itu begitu meriah dengan kehadiran ramai kenalan rapatnya.

Jejai sendiri tidak ketinggalan meraikan hari istimewa anaknya itu. Turut memeriahkan acara termasuklah Ozlyn, Datin Eina Azman, Aliff Syukri dan Maria Farida.

Berkonsep moden, sambutan ulang tahun kelahiran Jemyma diuruskan sendiri oleh Fasha tanpa menggunakan sebarang khidmat pengurus acara.


FASHA Sandha dan Ozlyn pada majlis sambutan ulang tahun hari lahir kedua anak perempuannya, Putri Raysha Jemyma. - Foto Shiraz Ali

"Saya berasa seronok sangat kerana walaupun diadakan secara sederhana, namun ramai kenalan dan teman artis yang hadir.

"Persiapan untuk majlis ini pun hanya dilakukan beberapa hari sebelum ia berlangsung. Kita mendapat kepuasan dan keseronokan berbeza apabila menguruskan sendiri majlis untuk puteri saya ini," tuturnya.

Ditanya pula mengenai perkembangan Jemyma, Fasha berkata, anaknya itu seorang yang sangat bijak dalam melakukan sesuatu perkara. Kanak-kanak itu juga, katanya, antara insan paling rapat dengan dirinya.

"Jemyma seorang budak yang bijak dan saiz badannya agak besar berbanding usianya. Dia juga seorang yang manja, tetapi pandai berdikari.

"Alhamdulillah, Jemyma membesar dengan sihat. Kalau nak tahu, sehingga sekarang dia memanggil saya Abu," seloroh Duta Kebaya Malaysia untuk Rumah Kebaya Bangsar itu.

Tambah Fasha, berdasarkan pengamatannya, puteri kesayangannya itu kurang gemar dengan pendedahan di depan kamera.

Selain Jemyma, Fasha mempunyai seorang lagi anak, Putra Rayfal, 3.

696 dibaca
FASHA Sandha bersama Datin Maria Farida. - Foto Shiraz Ali
FASHA Sandha bersama Putri Raysha Jemyma. - Foto Shiraz Ali
FASHA Sandha bergambar bersama bekas suami (kiri) Jejai dan anak-anak. - Foto Shiraz Ali
Berita Harian X