Selasa, 15 November 2016 | 12:18am

Busana rona putih pilihan pengantin sepanjang zaman


GAMBAR kiri, aura pengantin lebih terserlah dalam persalinan hebat ini manakala (kanan) kurung moden menyuntik gaya anggun pemakai.

BUSANA pengantin dari rona putih sememangnya memikat mata memandang. Kelembutan warna suci ini membuatkan ramai mempelai memilih putih sebagai persalinan hari bahagia mereka.

   Lantaran itu, Butik Rekka menyediakan pelbagai busana pengantin rona putih bagi koleksi terbaharu, Gaun Klasik yang ditawarkan kepada bakal pengantin menerusi enam persalinan indah.

Rekaan baju kurung moden, kebaya dan kurung tradisional diberi elemen baharu dengan gabungan potongan ala gaun. Ia tampak segar, sekali gus menampilkan gaya kontemporari dengan kemasan perincian mewah seperti berlian atau manik .

Malah, penggunaan fabrik eksklusif seperti kain renda dan sifon, menambah seri sedia ada pada rekaan koleksi pengantin butik yang terletak di pusat beli belah SACC Mall, Shah Alam ini.


RONA putih mampu menaikkan seri pengantin.

Putih segar malar

Pemilik butik, Datin Suhana Ahmad, 35, berkata rona putih menjadi pilihan utama bakal pengantin kerana warnanya yang begitu menyerlah apabila digayakan.

"Putih memang trend terkini untuk perkahwinan. Lagi pun sejak dulu, warna ini malar segar dan menjadi pilihan sepanjang zaman.

" Walaupun sebelum ini, warna terang seperti hitam, kuning, biru firus, hijau lumut menjadi pilihan tetapi trend tahun ini mengembalikan putih sebagai warna pilihan utama pada fabrik pengantin. Sebelum ini, rona putih lebih gemar digayakan untuk majlis akad nikah tetapi kini warna itu dipakai pengantin ketika bersanding atau majlis resepsi," katanya.

Justeru, beliau menampilkan enam potongan baju pengantin sesuai digayakan pada majlis resepsi, penggambaran perkahwinan, tunang dan nikah.

Enam koleksi istimewa dan anggun ini adalah Kesuma, Lily, Melati, Melur, Dahlia dan Kekwa dengan potongan berbeza dan memiliki keunikan tersendiri.

" Potongan ini begitu kontemporari kerana ada busana yang kami reka miliki gabungan tradisi dan moden. Nampak seperti kebaya di bahagian atas tetapi gaun di bawah persalinan," katanya.

Fabrik bermutu

Suhana berkata, selain mementingkan perincian pada konsep busana ciptaannya, beliau juga amat menitikberatkan mutu fabrik.

Tidak hairanlah beliau sanggup terbang jauh ke negara seperti Korea, Pakistan, Itali , India dan Eropah semata-mata untuk memberikan kepuasan tidak ternilai kepada pelanggannya.

"Koleksi pengantin ini juga sesuai digayakan mereka yang berhijab atau tidak. Lagipun rekaan kami mengangkat tema ringkas dalam gaya busana tetapi menaikkan imej potongan klasik sebagai kelainan ditampilkan kali ini," katanya.

Beliau berkata, sebagai pereka busana pengantin, beliau dan pereka busana pengantin butiknya sentiasa peka kepada perkembangan semasa.

"Walaupun kami sentiasa mengikut arus perdana dalam teknik rekaan tetapi kami masih mengangkat nilai klasik sesuai dengan budaya tempatan," katanya.

INFO: Pilihan jenis fabrik pengantin

* Sifon

Kain ringan dengan tekstur lembut dan halus. Sesuai untuk reka bentuk busana yang mempunyai potongan yang beralun.

Sesuai dijadikan pakaian untuk nikah.

* Organza

Sejenis kain seperti jaring tetapi lebih halus dan lebih lembut. Ia sering dijadikan lapisan dalam kain untuk memberi kesan

potongan kain lebih kembang digayakan.

* Krep

Meliputi pelbagai fabrik termasuk sintetik dan sutera yang dikenal pasti dengan permukaan fabrik kasar.

* Krep satin

Permukaannya depan dan belakang kain berbeza. Pada bahagian depan kain anda dapat lihat kilauan kain satin yang

menyilau dan berbeza pada permukaan belakangnya yang kosong dan sedikit pudar. Tetapi kedua permukaan boleh digunakan.

* Renda

Sering digunakan dengan gabungan sifon, satin, georgette, sutera satin dan sutera. Terdapat banyak lagi jenis kain yang boleh

dipadankan dengan menggunakan kain jenis ini.

Penggunaannya yang menjadikan fabrik lain lebih menyerlah. Pakaian pengantin selalunya menggunakan kain renda yang banyak

dan menggunakan perincian indah seperti manik.

Velvet

Kain berat dengan tenunan mewah dan kemasan yang diperbuat daripada sutera, baldu atau rayon ini mempunyai nilai eksklusif

tersendiri. Walaupun jarang digunakan, ia pernah menjadi trend satu ketika dulu.

Satin

Sejenis kain licin yang diperbuat dari serat sintetik dalam tenunan rapat dapat mencipta pantulan cahaya tampak lebih mewah.

68 dibaca
Berita Harian X