Ahad, 20 November 2016 | 9:12am

Soyuz bawa 3 angkasawan tiba di ISS


Imej ini diambil dari NASA TV menunjukkan Angkasawan NASA, dari kiri; Peggy Whitson, Oleg Novitskiy dari agensi Federation Roscosmos Russia dan Thomas Pesquet ESA (Agensi Angkasa Eropah) di Stesen Angkasa Antarabangsa. - Foto AFP

MIAMI: Kapal angkasa Soyuz tiba di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) kelmarin, membawa angkasawan Eropah, Russia dan Amerika Syarikat untuk misi empat bulan di pangkalan luar itu.

"Tarikan disahkan," kata pengulas Pentadbiran Aenorautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Amerika Syarikat ketika kapal angkasa itu berlabuh di ISS pada jam 4.58 petang waktu tempatan.

Ketiga-tiga angkasawan berkenaan, Thomas Pesquet dari Perancis, Oleg Novitskiy dari Russia dan Peggy Whitson dari Amerika dilancarkan dari Baikomur Cosmodrome di Kazakhstan Khamis lalu.

Pesquet, 38, ialah warga Perancis pertama dihantar ke ISS oleh Agensi Angkasa Lepas Eropah sejak 2008.

Novitskiy, 45, pula ialah juruterbang Tentera Udara Russia dan veteran dalam agensi angkasa lepas Roscosmos, yang melakukan perjalanan keduanya ke ISS.

Sementara Whitson ialah veteran berpengalaman dan pakar biokimia yang akan memecahkan rekod dengan misi kali ini, termasuk bilangan hari di angkasa lepas oleh angkasawan Amerika.


PAPARAN imej diperolehi dari TV NASA menunjukkan gambar kapal angkasa Soyuz sebelum mendarat di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). - Foto AFP

Beliau dijangka mengatasi rekod angkasawan NASA, Jeff William yang berada di ISS selama 534 hari pada 24 April.

Pada Februari, Whitson, 56, akan menjadi wanita pertama bertanggungjawab di stesen itu sebanyak dua kali.

Beliau pernah menjadi ketua di stesen itu pada 2007, apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan itu, kata NASA. - AFP

119 dibaca
Berita Harian X