Ahad, 20 November 2016 | 4:17pm

Iqram tiada niat saingi kafe Rita Rudaini


IQRAM Dinzly bersama ibu saudara dan rakan kongsi lain membuka kafe Serimooka di Bangsar.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Iqram Dinzly, 35, tidak bermaksud menyaingi restoran milik Rita Rudaini apabila beliau turut membuka premis menjual kuih-muih dan makanan tradisional.

Julung kali menceburi dunia perniagaan, pelakon itu turut menegaskan, pembukaan kafe Serimooka di Bangsar, di sini, juga bukanlah sebagai saingan kepada mana-mana bisnes serupa.

Sebaliknya, aktor yang sudah sedekad bergelar anak seni itu hanya ingin memeriahkan lagi dunia perniagaan menerusi pembukaan kafe terbabit, sejak 13 November lalu.

"Dalam hal ini, tidak timbul soal 'caras' atau mencuri pelanggan orang lain, mahupun restoran milik Rita Rudaini. Saya percaya, kehadiran kafe ini memartabatkan lagi kuih-muih dan makanan tradisional.

"Dalam dunia perniagaan, kita sedar ada ramai yang bersaing menjual produk atau perkhidmatan sama. Ia adalah persaingan yang sihat. Saya percaya, setiap daripada kita ada rezeki masing-masing," katanya pada majlis pelancaran kafe terbabit hari ini.

Menerusi perniagaan itu, Iqram bertindak sebagai rakan kongsi yang membantu ibu saudara dan tiga lagi rakannya daripada usahawan wanita MARA.

"Saya umpama pihak yang memberikan sokongan kepada apa yang diusahakan mereka, selain membuat sedikit pelaburan," katanya yang kali akhir berlakon dalam drama Sepatu Tinggi Medina siaran Hypp TV.

Menurut Iqram, sekalipun dianggap lambat menceburi dunia perniagaan, beliau tidak melihatnya sebagai satu masalah.

"Selama 10 tahun di arena seni, saya banyak menimba pengalaman. Jadi, sedikit sebanyak saya kini mula belajar selok-belok dunia perniagaan pula dengan ibu saudara.

"Insya-Allah, francais kafe ini akan dikembangkan lagi di lokasi lain, termasuk di Langkawi, bulan depan. Harapnya kafe ini juga akan terus memeriahkan perniagaan yang mempromosikan kuih-muih dan makanan tempatan," katanya.

397 dibaca
Berita Harian X