Selasa, 22 November 2016 | 5:22pm

Pemuda UMNO gesa ASEAN kenakan sekatan terhadap Myanmar


NAIB Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor.

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menggesa negara anggota ASEAN menyatakan pendirian bagi menghentikan penindasan terhadap umat Islam Rohingya di Myanmar.

Sehubungan itu, Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun akan menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Myanmar pada petang Jumaat ini sebagai tanda membantah kekejaman terhadap etnik minoriti beragama Islam di negara itu.

Katanya, penyerahan memorandum itu akan disertai semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi politik bagi menuntut keadilan dan penjelasan daripada pemerintah Myanmar.

"Kami juga gesa pengamal media di seluruh dunia supaya tidak hipokrit terutama apabila menyembunyikan isu masyarakat Islam yang ditindas dan dibunuh di Myanmar.

"Etnik Rohingya sebenarnya diperlakukan sedemikian oleh pelampau agama bukan atas dasar memerangi militan. Justeru, kami mahu menuntut tindakan antarabangsa yang tegas ke atas Myanmar.

"Pemuda UMNO mendesak supaya Myanmar dikenakan sekatan ekonomi serta-merta atas tindakan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khairul Azwan berkata, imej digital yang diperoleh dari satelit menunjukkan, ratusan bangunan di perkampungan etnik Rohingya dibakar ketika pertempuran baharu meletus di wilayah bergolak itu dan paling tragis, mereka dibunuh dan dirogol.

Katanya, sudah terang lagi bersuluh, pembunuhan beramai-ramai membabitkan kaum Rohingya di Myanmar harus dijadikan agenda utama ASEAN dan komuniti antarabangsa dalam usaha mengekang jenayah ini daripada terus berleluasa.

92 dibaca
Berita Harian X