Sabtu, 23 Ogos 2014 | 2:45pm
BINTANG Bayern Munich, Arjen Robben (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya, Thomas Mueller pada perlawanan pembukaan Bundesliga menentang Wolfsburg di Munich. Bayern menang 2-1. - REUTERS

Bundesliga: Bayern lakar kemenangan pertama sekalipun pincang

BERLIN: Penyandang juara, Bayern Munich membuka kempen baru Bundesliga Jerman 2-1 dengan langkah kanan hasil kemenangan dramatik 2-1 ke atas VfL Wolfsburg, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Pep Guardiola begitupun nampak goyah pada awal aksi di Allianz Arena sebelum membuka tirai jaringan pada minit ke-37 menerusi wira Piala Dunia Jerman, Thomas Mueller yang menggunakan sepenuhnya hantaran bijak Arjen Robben.

Tuan rumah seakan mengawal penuh perlawanan apabila Robben meledak gol kedua tuan rumah dua minit memasuki babak kedua namun jaringan menarik daripada penyerang Wolfburg, Ivica Olic pada minit ke-52 menyalakan kembali harapan pelawat.

Dan Wolfsburg yang menamatkan kempen Bundesliga di kedudukan kelima musim lalu hampir mencuri satu mata daripada Bayern ketika perlawanan berbaki 11 minit menerusi pemain gantian, Junior Malanda namun disia-siakan.

"Kami tidak memiliki persiapan yang ideal," kata Robben. "Kami mempunyai ramai pemain yang masih beraksi sehingga Piala Dunia menamatkan saingannya, yang tidak dapat berlatih dengan sempurna dan banyak kecederaan.

"Namun ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan. Kami mempunyai skuad yang hebat, dan tiga mata adalah perkara yang paling penting hari ini," kata bintang Piala Dunia Belanda itu.

Guardiola memulakan kempen Bundesliga tanpa beberapa pemain utama termasuk bintang tengah, Franck Ribery, Bastian Schweinsteiger, Thiago dan Javi Martinez selain pertahanan, Jerome Boateng yang bedepan penggantungan.

Kepincangan itu memaksa pengendali kelahiran Sepanyol itu memberikan pemain berusia 17 tahun, Gianluca Gaudino penampilan pertamanya dalam kempen Bundesliga bergandingan bersama David Alaba di bahagian tengah. - AFP

90 dibaca
Berita Harian X