Jumaat, 2 Disember 2016 | 2:42pm
Mesej pembahas membina - Hishamuddin

Mesej pembahas membina - Hishamuddin

KUALA LUMPUR: Rata-rata pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini membawa mesej yang jelas mengenai ketaatsetiaan kepada parti," kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Naib Presiden UMNO itu berkata, beliau berasa lega kerana semua pembahas menunjukkan semangat yang berbeza dengan perhimpunan tahun lalu.

Katanya, mesej yang disampaikan juga penuh kebertanggungjawaban untuk terus mengukuhkan kesatuan dalam parti.

"Saya dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mendengar setiap perbahasan dan menyimpulkan pembahas kali ini membawa harapan dan pandangan serta teguran dari peringkat cawangan dan bahagian yang disampaikan dengan lebih membina.

"Sebagai Pengerusi Usul parti, saya gembira dan berasa lega kerana semua pembahas tidak jauh lari daripada usul yang dibentangkan semalam," katanya pada sidang media harian bersama Ahmad Zahid di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, beliau berharap mood dan rentak yang sama berterusan pada sesi perbahasan usul ekonomi, pendidikan dan agama.

"Saya melihat suasana perhimpunan agung kali ini berbeza dengan tahun lalu yang mana perwakilan sudah jelas dan yakin dengan institusi kepemimpinan parti.

"Ini paling bererti berbanding tahun lalu yang mana berlaku ketidaktentuan dalam parti yang menyukarkan sesi perbahasan dalam menunjukkan relevan dan kekuatan UMNO," katanya.


NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berbincang dengan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (kiri) pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra. - Foto Aizuddin Saad

83 dibaca
Berita Harian X