;
Sabtu, 3 Disember 2016 | 1:12pm

Xavi Hernandez yakin Messi kekal di Barcelona


LIONEL Messi. - Foto AP

MADRID: Bekas kapten Barcelona, Xavi Hernandez yakin Lionel Messi akan kekal bersama kelab gergasi Catalan untuk sepanjang kerjayanya.

Keutamaan Barca adalah untuk mengikat Messi dengan kontrak jangka panjang dan berharap dapat berbuat demikian sebelum akhir tahun ini.

Kapten Argentina itu masih mempunyai kontrak sehingga Jun 2018, dan Marca baru-baru ini mendakwa Messi yang berusia 29 tahun tidak akan mempertimbangkan masa depannya sehingga di penghujung kontrak semasanya.

"Saya berhubung dengan Messi dan saya melihat dia gembira," kata Xavi kepada radio Sepanyol, Cadena Cope.

"Saya belum bercakap dengannya, tetapi dia pasti tahu bahawa Barcelona adalah kelab terbaik di dunia dan saya tidak melihat dia akan ke mana-mana kelab lain.

"Jika saya terpaksa bertaruh, saya tidak akan (bertaruh) untuk melihat Messi di kelab lain."

Messi menghadapi persaingan sengit daripada penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo untuk merebut anugerah pemain terbaik dunia dalam majlis di Zurich pada 9 Januari depan.

Pemenang Ballon d'Or empat kali, Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti penentuan ketika menentang Atletico Madrid yang menyaksikan Real Madrid memenangi trofi Liga Juara-Juara musim lalu.

Dia kemudian menjadi kapten Portugal ketika mereka menjuarai Euro 2016 di Perancis dan Ronaldo, 31, juga menjaringkan 51 gol dalam 48 perlawanan musim lalu bersama kelabnya.

"Jika melihat kepada kejuaraan berpasukan, pilihan untuk memenangi anugerah itu adalah memihak kepada Cristiano," kata Xavi yang kini bermain untuk kelab Qatar, Al Sadd SC.

"Tetapi jika kita merujuk kepada pemain bola sepak yang terbaik di planet ini, bagi saya tiada keraguan lagi, ia adalah Messi." - Agensi

295 dibaca
Berita Harian X