Selasa, 6 Disember 2016 | 12:10am

Bergaya sopan, tampak menawan dengan Querenda


GANDINGAN baju polos, tudung bercorak beri pilihan Muslimah penuhi cita rasa.

FESYEN muslimah bukan lagi asing di negara ini, malah industri itu boleh dikatakan sebagai lubuk rezeki buat mereka yang menceburinya.

Selain memberi banyak pilihan untuk muslimah, persaingan sihat dalam kalangan pengusaha dapat memberi nilai tambah untuk mereka sentiasa memperbaiki kualiti rekaan dan material yang digunakan demi kepuasan pelanggan.

Querenda antara tidak mahu ketinggalan menawarkan pilihan buat Muslimah yang bukan saja selesa, malah mengekalkan ciri seperti dituntut dalam Islam.

Polos digandingkan dengan corak dalam persalinan longgar antara tertib gaya wanita muslimah dalam bergaya.

Berkongsi gaya rekaan dihasilkan, koleksi itu diperagakan pada pertunjukan fesyen sempena Karnival Muslimah berlangsung di Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz Petaling Jaya, baru-baru ini.

Pelbagai gaya rekaan

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Querenda, Roszie Amir, berkata jenama pakaian muslimah, itu menyediakan banyak pilihan membolehkan ia sesuai di suai padan dan ditampilkan dalam pelbagai gaya.

"Antaranya gaun labuh motif abstrak sarat, digandingkan dengan tudung segera polos, antara padanan molek digayakan sama ada untuk ke acara rasmi atau ke pejabat," katanya.

Koleksi lain diketengahkan, gaya blaus paras lutut khusus untuk yang menggemari kemeja potongan kimono. Ikatan sisi menyerlah gaya wanita kota yang mahu bergaya tetapi tidak berkompromi terhadap susuk tubuh yang perlu dilindungi.

Padanan selendang segera jenis polos atau selendang empat segi bermotif floral, menyerlahkan keayuan pemakai. Salah satu kelebihan padanan tudung bercorak, ialah tanpa aksesori sampingan seperti rantai ataupun subang labuh, anda sudah nampak bergaya.


SUAI padan kreatif boleh tampilkan gaya menarik.

Penampilan santai

"Pelbagai gaya boleh ditampilkan dan terpulang kepada kreativiti pemakai untuk kelihatan cantik dan menawan. Paling penting, koleksi rekaan jenama ini mudah disuaipadankan," kata Roszie.

Jenama ini turut menawarkan jaket labuh berbutang depan. Tali pinggang yang didatangkan bersama, boleh diikat kemas atau dibiarkan begitu saja, untuk penampilan lebih santai.

Info: Gaya Sopan

Baju - Tidak terlalu ketat di bahagian dada dan punggung. Lebih labuh, lebih baik.

Warna - Warna senada atau tidak lebih daripada tiga warna. Jika tudung anda sudah berwarna terang, pilih baju warna lembut, begitu juga sebaliknya.

Tudung - Melepasi dada, pilih jenis selesa seperti material krepe, kapas atau pun yang menyerap peluh.

147 dibaca
Berita Harian X