Selasa, 6 Disember 2016 | 5:32pm
PENYANYI, Awie Rafael dan Kaka Azraff. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Awi Rafael tak kisah gosip bercinta dengan Kaka


PENYANYI, Awie Rafael dan Kaka Azraff pada sidang media pelancaran pertandingan nyanyian terbaru terbitan Astro iaitu Duo Star di Restoran Yuyi, Bangsar Shopping Centre (BSC). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Penyanyi Awi Rafael, 30, tidak kisah dirinya menjadi bualan netizen kononnya bercinta dengan Kaka Azraff.

Menafikan khabar angin itu, Awi berkata, dia mengagumi Kaka sebagai penggiat muzik bersuara unik dan hanya selesa berkawan rapat.

"Apatah lagi kami adalah pasangan duet dalam program realiti baharu, Duo Star terbitan Astro.

"Tidak ramai yang melihat Kaka daripada sisi lain. Bagi saya, dia adalah Ella versi 2016. Saya kagum dengan bakatnya dan kami sekadar rakan kerja, tidak lebih daripada itu.

"Jadi, jika keakraban kami menjadi bualan, saya tidak kisah. Kami masing-masing belum berkahwin, maka orang akan bercakap apa saja," katanya kepada BH Online.

Awi atau nama sebenarnya, Muhammad Namawi Ewan Gunawan Rafael diminta mengulas status perhubungannya dengan Kaka selepas netizen kecoh

kononnya dua penyanyi ini bercinta.

Awi berkata, dia dan Kaka mempunyai pemikiran sama dan cukup serasi.

"Kami membawa objektif sama dalam pertandingan ini iaitu ingin meluahkan sisi berbeza sebagai penghibur," katanya.

Dalam perkembangan lain, Awi bakal muncul dengan album baharu berjudul Euphoria.

Album itu memuatkan lapan lagu antaranya Kau Di Hatiku, Love You Like A Child dan Mulakan Dengan Bismillah.

Menariknya, album itu turut menampilkan penyanyi Indonesia, Rizuka dan Altimet.

Program realiti, Duo Star akan disiarkan melalui saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada jam 9 malam mulai 25 Disember depan.

714 dibaca
Berita Harian X