Rabu, 7 Disember 2016 | 9:41pm

Bayar saman awal dapat diskaun, elak percaya ulat diskaun


Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, SAC Datuk Mahamad Akhir Darus di Bukit Aman. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Polis meminta orang ramai tidak berurusan dengan 'ulat diskaun' yang kononnya boleh menguruskan pembayaran saman trafik dengan nilai diskaun mencecah 80 peratus, bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mahamad Akhir Darus, berkata orang ramai tidak perlu percaya bahawa ulat diskaun boleh menyelesaikan masalah saman dengan kadar lebih murah kerana JSPT sendiri menawarkan potongan diskaun saman sehingga 50 peratus.

"JSPT sudah lama memperkenalkan konsep 'bayar lewat, bayar lebih' yang mana diskaun sebanyak 50 peratus diberikan kepada mereka yang membayar saman dalam tempoh satu hingga 30 hari selepas menerima saman.

"Semakin awal bayaran dilakukan, maka semakin kurang kadar kompaun yang dikenakan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, sebagai contoh, kadar saman maksimum bagi kesalahan memandu melebihi had laju adalah RM300, namun jika pesalah membayar saman itu dalam tempoh 30 hari, jumlah kompaun yang dikenakan hanya RM150.

"Kadar kompaun akan naik kepada RM200 sekiranya saman itu dijelaskan dalam tempoh 31 hari sehingga 60 hari dan kadar maksimum RM300 akan dikenakan bagi saman yang melebihi 61 hari.

"Justeru, orang ramai perlu membayar awal saman masing-masing bagi menikmati ganjaran diskaun automatik sehingga 50 peratus," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan membuat bayaran terus di kaunter bayaran trafik di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Pejabat Pos Malaysia Berhad, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Maybank atau secara dalam talian melalui portal www.myeg.com.my atau www.rilex.com.my

7101 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »