Khamis, 15 Disember 2016 | 9:27pm

Super Mario Run, permainan pertama Nintendo dalam iPhone

TOKYO: Nintendo memperkenalkan Super Mario Run, permainan pertama dalam iPhone dan ujian penting percubaannya ke dalam permainan mudah alih, selepas kegilaan terhadap Pokemon Go.

Permainan itu akan mula dijual di 151 negara dan wilayah bermula hari ini serta boleh diperoleh dalam peranti berasaskan Android selepas itu.

Permainan yang amat dinanti itu muncul selepas pembuat konsol Wii berpusat di Kyoto selama bertahun enggan beralih kepada permainan telefon pintar atau melesenkan wataknya untuk permainan dalam talian.

Namun ketika ia bergelut dari segi kewangan, syarikat mengubah taktik dan mengumumkan tahun lalu ia berpakat dengan pakar telefon bimbit Jepun, DeNA untuk membangunkan permainan berasaskan telefon bimbit dan tablet berdasarkan watak popular itu.

Mac lalu, Nintendo mengeluarkan permainan mudah alih pertamanya, "Miitomo", permainan interaktif percuma yang membolehkan pengguna mencipta avatar.

Kemudian, permainan Pokemon Go, berdasarkan watak Nintendo meledak, dimuat turun lebih satu bilion kali.

Namun, ia hanyalah sebahagian ciptaan Nintendo oleh kerana permainan itu milik Niantic, berpusat di San Francisco dan memiliki sedikit impak ke atas syarikat.

Super Mario Run, berdasarkan watak tukang paip ikonik Itali, adalah tindakan paling penting syarikat setakat ini ke arah permainan mudah alih.

Randy Nelson, ketua kumpulan penganalisis industri Sensor Tower berpusat di Amerika Syarikat berkata, kemungkinan ia mendapat sambutan pada bulan pertama.

"Kami tidak ragu-ragu bahawa muat turun bulan pertama Super Mario Run akan mencatat sejarah, kemungkinan melebihi Pokemon Go, terima kasih dengan paparan selama beberapa bulan oleh Apple, liputan meluas media dan lain-lain," tulisnya dalam blog. - AFP

21 dibaca
Berita Harian X