;
Selasa, 20 Disember 2016 | 3:24pm
KEADAAN pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 118, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan yang terhumban ke dalam sungai Mak Ikal Kerteh. - Foto Rosli Ilham

2 maut, 2 cedera kereta terhumban dalam sungai


KEADAAN pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 118, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan yang terhumban ke dalam sungai Mak Ikal Kerteh. - Foto Rosli Ilham

CHUKAI: Dua maut dan dua parah selepas kenderaan yang mereka naiki terhumban ke Sungai Mak Ikal, dekat Kerteh, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi, mangsa yang maut ialah pemandu pacuan empat roda, Mohd Zul Hafiz Mohd, 27, dari Bukit Payung, Marang dan penumpang hadapan, Mohd Amirul Nazri Alias, 23, dari Sungai Rengas, Kuala Terengganu. 

Dua lagi mangsa, Muhammad Nazirul Iqram Maliki, 20, dari Manir, Kuala Terengganu, cedera kedua-dua kaki, manakala Abdul Halim Che Adri, 22, dari Mengabang Telipot, cedera di kepala.

Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki empat mangsa itu yang dalam perjalanan dari arah Dungun ke Kemaman, terbabas sebaik tiba di Kilometer 117.1 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan. 


LAKARAN punca kemalangan maut di Kilometer 118, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan . - Foto Rosli Ilham

Kenderaan Mitsubishi Triton itu dikatakan melanggar besi penghadang jambatan sebelum terhumban ke dalam sungai berkenaan.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Kerteh, Mohamad Hamdan Sudin berkata, sepasukan lapan anggota bomba tiba lima minit selepas kejadian.

Katanya, ketika tiba, pemandu kenderaan terbabit dan seorang penumpang depan sudah dikeluarkan orang awam.

"Seorang mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan anggota bomba, manakala seorang lagi mangsa yang tercampak ditemui di bawah kenderaan itu," katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim yang mengesahkan kejadian itu berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut. 

Katanya, dua mangsa yang parah dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut.

355 dibaca
Berita Harian X