Selasa, 20 Disember 2016 | 10:57pm

Malaysia Airlines taja Pandelela, Nur Dhabitah


ATLET terjun Olimpik negara, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Berhad (MAB), hari ini mengumumkan penajaan bagi tempoh empat tahun untuk atlet terjun Olimpik negara, Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri.

Tajaan itu bermula pada 2016 sehingga temasya Olimpik akan datang pada 2020 di Tokyo.

"Nur Dhabitah dan Pandelela ialah wira negara, negara tertumpu pada aksi mereka di Rio tahun ini. Mereka mempamerkan kerja keras, fokus dan keazaman tinggi untuk mencapai kecemerlangan.

"Mereka adalah contoh kejayaan besar dan kami berbesar hati dapat dikaitkan dengan mereka.

"Saya tidak sabar untuk mengikuti pencapaian serta cabaran mereka dan kami mengucapkan selamat maju jaya dalam sasaran mereka untuk meraih pingat emas pada Tokyo 2020," kata Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Peter Bellew, dalam kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Penajaan empat tahun itu meliputi tiket penerbangan pergi balik untuk kelas perniagaan dalam rangkaian perkhidmatan di Malaysia serta tajaan kewangan bagi program latihan dan perjalanan mereka ke Olimpik Tokyo 2020.

Pandelela, yang bergandingan dengan Cheong Jun Hoong, meraih pingat pertama untuk Malaysia pada Sukan Olimpik Rio apabila mereka memenangi pingat perak dalam acara 10m platform seirama wanita.

Finalis 10m platform individu, Nur Dhabitah, yang pertama kali beraksi dalam temasya Olimpik menduduki tempat kesembilan dan Pandelela di tempat ke-11.

Nur Dhabitah dan Jun Hoong menamatkan saingan di tempat kelima dalam acara 3m papan anjal seirama. - BERNAMA

290 dibaca
Berita Harian X