Rabu, 21 Disember 2016 | 10:17am

Juara Wimbledon, Kvitova cedera diserang pencuri


KVITOVA perlu berehat sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menjalani pembedahan di tangan kirinya yang dicederakan oleh pencuri. - Foto fail AFP

PRAGUE: Juara dua kali Wimbledon, Petra Kvitova, perlu berehat sekurang-kurangnya tiga bulan selepas menjalani pembedahan di tangan kirinya yang dicederakan oleh pencuri menggunakan pisau, kata jurucakapnya.

Kvitova mengalami kecederaan pada semua lima jari dan dua saraf di tangan kirinya, tangan digunakan untuk bermain selepas bergelut dengan pencuri di kediamannya di Prostejov, bandar timur Republik Czech.

Doktor "menjahit tendon jari yang cedera" ketika pembedahan yang mengambil masa tiga jam dan 45 minit, kata jurucakap Kvitova, Karel Tejkal kepada AFP.

"Tangan itu akan berbalut selama dua hari, kemudian akan menggunakan anduh selama enam ke lapan minggu. Dia tidak boleh membebankan tendonnya sekurang-kurang selama tiga bulan.

"Kecederaan itu adalah serius, tetapi doktor bedah berkata Petra masih muda dan sihat dan tidak ada sebab kenapa dia tidak boleh terus bermain tenis."

Terdahulu, Tejkal berkata kejadian pecah rumah itu adalah jenayah rawak kerana "tiada siapa akan menyerang dan merompak Petra Kvitova."

Pemain berusia 26 tahun yang menghuni ranking ke-11 dunia berkata menerusi laman Facebook dia terkejut namun "bernasib baik" kerana masih hidup.

"Saya diserang di dalam pangsapuri saya oleh individu menggunakan pisau," kata Kvitova, sambil menambah dia cuba mempertahankan dirinya.

"Saya percaya kepada doktor dan ia akan berakhir dengan baik. Jangan risau akan saya."

Polis berkata, jenayah pecah rumah itu berlaku pada 7.30 malam waktu tempatan dan penjenayah masih lagi bebas. - AFP.

96 dibaca
Berita Harian X