Jumaat, 23 Disember 2016 | 4:20pm

5 syarikat serah zakat RM2.4 juta kepada MUIP


PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah beramah mesra dengan pemberi zakat pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan di Istana Abdul Aziz. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Lima syarikat korporat hari ini menyerahkan zakat perniagaan kira-kira RM2.4 juta kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Syarikat korporat berkenaan adalah Far East Holdings Berhad (RM1.068 juta), FELCRA Wilayah Pahang Berhad (RM874,914), Akaun Estet Risda (RTSB) (RM259,227), Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) (RM200,000) dan Agro Bank Malaysia Berhad (RM40,000).

Zakat berkenaan diterima Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Yang Dipertua MUIP pada satu majlis khas di Istana Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat MUIP, Datuk Halidan Md Daud, berkata jumlah kutipan zakat harta terkumpul yang juga membabitkan potongan gaji adalah RM92.4 juta sejak awal tahun sehingga Selasa lalu.

Katanya, penyumbang terbesar bagi kutipan zakat adalah dari potongan gaji iaitu RM38.5 juta diikuti sumbangan badan korporat yang berjumlah RM27.8 juta.

"Bagaimanapun masih ada bayaran zakat melalui potongan gaji bagi bulan ini yang berjumlah RM5 juta dan dianggarkan RM14.2 juta menerusi pembayaran di kaunter menjelang 31 Disember ini.

"Berdasarkan kutipan di kaunter bayaran zakat pada minggu-minggu terakhir, kita yakin mampu mengutip sebanyak RM112 juta menjelang penghujung tahun berbanding RM111.3 juta tahun lalu," katanya.

367 dibaca
Berita Harian X