Sabtu, 24 Disember 2016 | 11:39am

Melaka optimis mampu tarik 16 juta pelancong


EXCO Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

ALOR GAJAH: Seramai 12.7 juta pelancong tempatan dan luar negara direkodkan berkunjung ke Melaka sehingga Oktober lalu dengan yang paling ramai adalah dari China diikuti Singapura dan Indonesia.

EXCO Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad, berkata dengan jumlah itu, kerajaan negeri optimis sasaran 16 juta pelancong tahun ini mampu dicapai.

"Faktor penyumbang kepada kedatangan pelancong dari China adalah perkhidmatan penerbangan terus yang menyaksikan 40 peratus pelancong adalah dari negara berkenaan.

"Walaupun jumlah direkodkan sehingga Oktober melebihi 12 juta, kita menjangka lebih tiga juta berkunjung ke negeri ini pada November dan Disember kerana musim cuti persekolahan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Sijil Malaysia Book of Record (MBOR) kepada Freeport A Famosa Outlet yang membina sebuah replika kek gergasi setinggi 18.9 meter di Simpang Ampat, di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Penyelidik dan Penganalisis MBOR, T Lavnesh, menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Pengarah A Famosa Resort, Datuk Alex Lau, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Melaka, Razieha Razali.

Pada program itu, MBOR mengiktiraf replika kek gergasi enam tingkat dibina setinggi 18.9 meter dengan ukur lilit 16 meter yang mengambil masa selama sebulan untuk disiapkan sepenuhnya sempena sambutan Hari Krismas dan Tahun Baharu 2017.

Turut diraikan, kira-kira 100 anak yatim dari daerah Jasin, Alor Gajah dan Rembau yang berpeluang menyertai beberapa aktiviti dan permainan.

Ghazale berkata, bilangan pelancong dijangka terus bertambah sehingga 31 Disember ini berikutan pihaknya akan mengadakan Minggu Pelancongan sempena cuti sekolah dan perayaan.

"Minggu Pelancongan akan diadakan pada 30 dan 31 Disember ini di Dataran 1Malaysia, Klebang, termasuk sambutan ambang tahun baharu yang dijangka disertai Ketua Menteri," katanya yang tidak menafikan pengurangan jumlah pengunjung ke Melaka pada awal tahun berikutan beberapa faktor seperti penyebaran maklumat palsu selain jerebu.

177 dibaca
Berita Harian X